KUALA LANGAT, 14 DIS: Kerajaan Negeri berhasrat memperkenal penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bermula tahun depan.
EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata pentadbiran kampung harus bergerak seiring peredaran zaman, sekali gus memastikan setiap dasar kerajaan dapat disampaikan dengan baik.
“Kita ada pelbagai perancangan antaranya memperkukuhkan pentadbiran JPKK di setiap kampung selain memastikan kampung tradisi juga dapat akses teknologi moden.
“Belanjawan negeri 2025 menekankan teknologi AI. Jadi kita perlu sentiasa mengikut perkembangan semasa agar kampung juga bergerak seiring zaman,” katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu beliau menghadiri Festival Kampung Tradisi di Dataran Morib di sini hari ini, yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Dalam majlis berkenaan, Amirudin turut melancarkan Skuad Bakti Desa yang akan diperkenalkan di semua 373 kampung tradisi seluruh negeri.
Skuad Bakti Desa disertai belia luar bandar bagi menyemarakkan aktiviti kemasyarakatan, membantu mengurus mangsa bencana serta menyempurnakan majlis kenduri dan hal kematian.
Sementara itu, Rizam berkata Festival Kampung Tradisi akan diteruskan di setiap daerah bagi memperkenalkan cara hidup di desa, termasuk ciri-ciri sejarah unik setiap kampung tradisi.
Diadakan selama empat hari, katanya, program mengetengahkan pelbagai hasil seni, produk buatan tangan, serta makanan warisan yang menjadi identiti unik kampung tradisi di Selangor.
“Karnival ini diadakan untuk memperkenalkan bahawa Selangor masih ada 373 kampung tradisi yang akan kita perkasakan secara keseluruhan, selain memastikan masyarakat lebih memahami dan mengenali kampung tradisi kita,” katanya.