SHAH ALAM, 18 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi anak syarikatnya Selangor Industrial Corporation (SIC) bakal menawar sistem rumah pintar, TAPO dilengkapi kemudahan berteknologi tinggi.
Pengurus besar pembangunan bandar pintar SIC berkata TAPO dibangunkan syarikat TP-Link Distribution Malaysia Sdn Bhd (TP-Link) menjadikan kediaman berkonsep gaya hidup moden serta mengutamakan aspek keselamatan.
Menurut Md Fauzan Elham, sistem berkenaan membolehkan kediaman memiliki pelbagai peranti seperti kamera keselamatan, pencahayaan pintar, alat automasi, dan vakum robot.
“Sistem ini akan memberi pengalaman baharu kepada pembeli dengan mengintegrasikan kehidupan moden dan teknologi pintar untuk mencipta gaya hidup tanpa gangguan serta menyeronokkan.
“Ia selaras dengan komitmen SIC untuk menawarkan pengintegrasian teknologi terkini selaras dengan gaya hidup pemilik rumah masa kini,” katanya.
Terdahulu beliau mewakili SIC memeterai surat hasrat (LoI) bersama TP-Link diwakili pengarah wilayahnya, Hugo Cai.
Md Fauzan berkata kerjasama itu menjadi langkah signifikan kedua-dua pihak sekali gus membuka laluan kepada kolaborasi dan inovasi pada masa depan.
“TAPO dikenali kerana kepelbagaian produknya yang berkualiti tinggi dan direka untuk memberikan kemudahan, keselamatan dan kecekapan kepada isi rumah moden,” katanya.
Beliau berkata, SIC komited memfokuskan bidang pemasaran produk binaan baharu, pembangunan solusi bandar pintar dan mapan serta akses terbuka infra komunikasi.