Masjid Bandar Diraja Klang dengan pemandangan Sungai Klang. Foto Facebook Muhammad Riduan Chik
SELANGOR

Sultan dukacita Klang kotor, titah pentadbiran, MBDK ambil tindakan

KLANG, 5 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan dukacita dengan tahap kebersihan Bandaraya Diraja Klang yang masih kotor dan tidak teratur.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah walaupun pembangunan berkembang pesat, masih terdapat kawasan yang kotor termasuk sungai yang teruk tercemar dengan sampah sarap.

Sultan Selangor bertitah Baginda banyak menerima rungutan orang ramai terutama pelancong kapal persiaran yang memasuki Pelabuhan Klang, menyatakan pemandangan di sana dan Klang begitu tercemar dan menjijikkan.

“Tidak guna kita berbangga dengan pencapaian pembangunan yang pesat jika perkara asas berkaitan kebersihan pun kita gagal laksanakan dan mengatasinya.

“Perlu diingatkan bahawa akibat daripada keadaan sungai yang dipenuhi dengan sampah sarap, longkang-longkang yang tersumbat yang tidak dijaga dengan rapi telah mengakibatkan banjir sering berlaku di Bandaraya Diraja Klang ini,” titah Baginda.

Justeru, Sultan Selangor menitahkan agar Kerajaan Negeri bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah banjir.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan titah dan menyempurnakan perasmian Masjid Jamek CIna Muslim Klang pada 5 Diaember 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Baginda turut menitahkan satu pelan menyeluruh dirangka dengan segera dan satu pasukan khas dibentuk bagi mengatasi masalah tersebut.

“Beta sudah berkali-kali menegur dan menasihati pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri untuk mengambil langkah yang efektif dan perancangan yang rapi dalam mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di Bandaraya Diraja Klang dan beberapa daerah lain di negeri Selangor.

“Namun demikian sehingga kini banjir masih tetap berlaku berulang kali setiap tahun malah kadang-kadang menjadi semakin teruk. Takkanlah kita nak gunakan alasan bahawa banjir berlaku disebabkan tahap penurunan hujan yang tinggi dan luar biasa akibat dari ‘act of God’.

“Beta sudah penat untuk mengingatkan masalah ini kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan setiap tahun namun semuanya tiada diambil peduli umpama mencurah air di daun keladi sahaja.

“Kenapa masalah ini tidak dapat kita selesaikan?. Tidakkah Kerajaan Negeri mahu memikirkan kesusahan rakyat di luar sana yang terpaksa mengharungi penderitaan semasa banjir dengan berhadapan dengan kerosakan harta benda, nyawa dan keselamatan yang terancam serta kesusahan untuk melaksanakan tugas seharian.

“Beta percaya ‘nothing is impossible’ dan tiada masalah di dalam dunia ini yang tidak boleh diselesaikan jika sekiranya kita bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita. Beta ingin melahirkan perasaan sedih atas penderitaan rakyat dan Beta dapat menyelami derita mereka akibat banjir yang sering melanda saban tahun,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin juga menitahkan tindakan segera diambil bagi meningkatkan kadar kebersihan di Bandaraya Diraja Klang.

“Beta mahu melihat hasilnya dalam masa yang terdekat. Selepas ini Beta tidak mahu mendengar lagi apa-apa alasan diberikan jika gagal mengatasi masalah yang melanda,” titah Sultan Selangor.


Pengarang :