Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bergambar bersama pasukan Pilihan Selangor setelah memenangi Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sultan tegas banteras keganasan sukan, ambil berat keselamatan atlet

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengambil berat keselamatan pemain daripada gejala samseng bola sepak atau hooliganisme, kelompok peminat yang terlalu taasub terhadap sesebuah pasukan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang juga Penaung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menganggap perbuatan tersebut melampau kerana ia melibatkan nyawa ahli-ahli sukan.

Menzahirkan kebimbangan ekoran keganasan menjadi-jadi termasuk insiden menimpa pemain tonggak Selangor FC iaitu Faisal Halim, 26, yang melecur tahap empat akibat simbahan asid.

Kejadian terhadap penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei antara rentetan serangan terhadap beberapa pemain lain dalam masa singkat.

Baginda juga meluah rasa gundah berikutan kes tersebut sehingga kini belum ada kesudahannya meskipun kejadian itu ringkas dan jelas ketara.

“Dengan media sosial dan teknologi moden, semua pihak tidak boleh sorokkan apa-apa. Beta ikuti kejadian ini dalam sidang Dewan Negeri Selangor dan berharap kes ini akan ada penyelesaiannya,” titah Baginda pada 5 Disember.

Sultan Sharafuddin juga murka apabila Selangor FC yang tidak hadir perlawanan Piala Sumbangsih selepas mendapat perkenan Baginda dikenakan hukuman tidak masuk akal dan amat berlebihan.

Tuanku memberi perkenan untuk menangguh perlawanan itu yang dijadual berlangsung kurang seminggu dari kes simbahan asid berikutan pemain dalam keadaan trauma dan ketakutan.

Pada 25 Jun, Selangor FC dikenakan empat bentuk hukuman iaitu membayar pampasan kepada tuan rumah, pemotongan tiga mata dalam Liga Super, denda sebanyak RM100,000 dan perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) dimainkan tanpa penonton.

Hukuman berkenaan yang turut dianggap kebanyakan peminat bola sepak sebagai berat sebelah hanya diringankan Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia dua hari kemudian ekoran kemurkaan Baginda.

“Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat kini telah dicemari dengan keganasan,” titah Baginda yang terlibat dalam arena bola sepak sejak 1968.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Jaga emosi

Enam hari menjelang perlawanan menentang JDT dalam saingan Liga Super, Baginda mengingatkan semua pihak termasuk penyokong Selangor FC supaya menjaga tingkah laku bagi mengelak perselisihan di dalam atau luar padang yang boleh membawa keganasan.

“Baginda mahu setiap pemain dan juga penyokong harus bijak dan rasional dalam mengawal emosi agar tidak terjerumus dengan provokasi yang boleh memberi kesan negatif yang akhirnya membinasakan.

“Sesungguhnya dalam bola sepak, menang atau kalah adalah adat pertandingan namun yang lebih penting, semua yang terlibat meraikan pihak yang berjaya dan mengambil teladan daripada setiap kekalahan,” menurut kenyataan Selangor Royal Office pada 21 Oktober.

Sikap itu telah lama terpancar melalui penganjuran Piala Sultan Selangor yang diperkenal Tuanku pada 2001, tahun Baginda ditabal sebagai Sultan Selangor.

Meski Singapura seteru utama berdekad-dekad lamanya, perlawanan berlangsung sengit tetapi harmoni.

Kedua-dua pasukan bertembung 22 kali dalam perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum Singapura menarik diri daripada Liga Malaysia pada 1994 dan perlawanan itu dianggap Malayan El Clàsico. Baik Selangor mahupun Singapura, kedua-dua musuh tradisi itu bersaing sihat dan saling hormat-menghormati.

Pilihan Selangor menang sembilan kali manakala Pilihan Singapura pula tujuh kali. Kedua-dua pasukan dinobat juara bersama pada 2004 manakala penganjuran pada 2015 dibatal akibat jerebu.

Dalam edisi tahun ini, Pilihan Selangor merangkul kejuaraan tiga kali berturut-turut dengan menewaskan Pilihan Singapura dengan keputusan dua gol berbalas satu pada 17 Ogos di Stadium Merdeka.

“Kepada yang cakna dan faham sejarah, mereka akan mengerti rasional di sebalik penganjuran dan turut sama meraikan Piala Sultan Selangor sebagai sebuah acara berprestij yang menyemarakkan semangat persahabatan dalam sukan,” menurut kenyataan pada 20 Ogos ekoran ada pihak mempertikai kewajaran pertandingan tersebut.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan hadir menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor di antara Selangor dan Singapura di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

 


Pengarang :