JOHOR BAHRU, 14 DIS: Suri rumah kerugian lebih RM750,000 selepas terperdaya skim pelaburan bitcoin dalam talian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir dalam kenyataan berkata pihaknya menerima laporan polis daripada wanita berusia 47 tahun yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan skim itu.
Beliau berkata wanita itu tertarik menyertai pelaburan berkenaan menerusi Facebook pada akhir Ogos lalu dan dimasukkan ke dalam kumpulan ‘VIP Investment Group (Malaysia)’ serta diberikan penerangan oleh beberapa individu berhubung pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh sebulan.
“Mangsa memuat turun aplikasi ‘UVKXE’ bagi memantau bitcoin yang dilabur dan boleh melihat keuntungan yang diperolehi. Mangsa yang tertarik dengan tawaran lumayan itu melakukan 12 transaksi pembayaran ke tujuh akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhannya RM896,813.
“Mangsa dapat melihat keuntungan berjumlah USDT185,838 di dalam aplikasi UVKXE dan ingin membuat pengeluaran wang keuntungan tersebut namun mangsa hanya dibayar keuntungan RM144,415 manakala untuk pengeluaran keuntungan seterusnya mangsa diarahkan membayar satu peratus daripada keuntungan tersebut,” katanya.
Mohd Roslan berkata wanita itu membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain siasatan juga meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam masa singkat.
– BERNAMA