(1)
malam sedang jauh, bulan begitu kecil semakin iras seketul kipferl mini bergayut mengekori kita sejak tadi. lorong-lorong sedang basah bertompok-tompok menguning dan merah-merah—lampu-lampu jalan tumpah—sekali-sekali lampu punggung kereta meleleh juga. angin malam tengkujuh aslinya memang adil—tak langsung memilih leher/ lengan, atau betis siapa dipeluk-peluk. begitu kaudipeluk—oh, lena benar kekasihku—pada akhir aku seorang juga, ketika chrisye melagu sendiri lagi—mencelah antara nafas malam—dingin jadi tambah galak berbisik-bisik antara kita berdua. telingaku yang kenyang cukup membiarkan mata ini terus bekerja menyita segala yang tak pernah ada—mengunci di sebalik pagar bulu mata yang kelabu terkumat-kamit disuluh malap neon-neon kalimantang cendawan-cendawan sebelum hujan.
(2)
minggu-minggu akhir sepulau awan merahsiakan kehamilan adalah antara ketika tanah pipiku mula mencari selesa dicuit jemari hujan dalam perjalanan mempersempit daerah tunggu menuju suatu malam lampu-lampu memilih pendam, tak tahu siapa? antara kita meniup hidup berjengkal-jengkal lilin ingatan—sekali kusebutkan—cinta ialah api lilin menunggu diam—ia terpejam—tetapi—kautahu? anggukkau yang tak sejitunya setuju tadi jadi alamat mengirimiku sepucuk surat bertulis—cinta lebih mirip sepasang teh sedang mereguk kita—belum puas membilas rindu sebegini jelas bahawa kelak? ketawa enggan tergelincir, sepasang bibir kita mengkiblatkan diam—secawan sebelum secawan yang suam ialah lembut tanda: sampai juga hangat tak bercuaca pada wajah—secawan teh masih lagi teh tetap sahaja teh di sisi sisa lilin-lilin yang terpejam teh ialah teh ialah teh mana jenuh diseduh sebagai doa teduh malam-malam tengkujuh.
(3)
mana ada yang lebih basah daripada udara malam tengkujuh di stesen bas kamunting pada suatu musim tunggu. tak ada duduk kerana lantainya jubin tandas awam apalagi bangkunya surat-surat khabar tanpa tanda baca demikian lebih baik membaca tiang-tiang borang aduan rakyat. di stesen hujan malas singgah, masih kita termengah-mengah oleh teriakan—cinta ialah menunda peristiwa-peristiwa kecewa, air mata ialah jeda yang tak menghantari kita ke mana-mana!—kekasih, tentu ada yang lebih—ah, yang paling basah—dibanding udara malam ini ialah sepasang mata milik seseorang—drebar teksi tua berbau gelisah/ peruncit—gula-gula asam, roti tamat tempoh, majalah lusuh—tak ada duit pecah/ entah aku sendiri—menghidupkan jarak mendaftarkan bulan sebagai bundar matakau yang membidik lega.
Fadhilah Ad Deen