Seramai 23 penumpang termasuk pemandu dan kelindan sebuah bas persiaran cedera selepas terlibat kemalangan dengan lori kontena di Kilometer 157.8 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara pada 14 Januari 2025. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

23 penumpang cedera bas persiaran kemalangan dengan lori kontena

NIBONG TEBAL, 14 JAN: Seramai 23 penumpang cedera apabila bas persiaran terlibat kemalangan dengan sebuah lori kontena di Kilometer 157.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini pagi tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saiful Bahari Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai nahas itu pada 4.16 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati bas persiaran yang membawa 24 penumpang bersama pemandu serta seorang kelindan dipercayai melanggar belakang sebuah lori kontena.

“Terdapat 23 mangsa alami kecederaan termasuk dua parah dan mereka dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan Hospital Seberang Jaya dekat sini untuk rawatan,” katanya.

Kemalangan berkenaan menyebabkan kesesakan teruk kira-kira lima kilometer di laluan berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :