SHAH ALAM, 24 JAN: Seramai 41 kanak-kanak yang diselamatkan dari premis Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) tahun lalu, dipulangkan ke pangkuan keluarga masing-masing semalam.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata perintah dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam atas cadangan perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Semua kanak-kanak dipulangkan kepada ibu bapa dengan syarat bon tanpa cagaran sebanyak RM500.
“Dalam tempoh setahun atau sehingga kanak-kanak tersebut berumur 18 tahun dan tidak melanggar syarat yang ditetapkan, mereka tidak perlu bayar bon tersebut,” katanya menerusi rakaman video di media sosial.
Anfaal menambah, seramai 40 lagi kanak-kanak pula dijangka dipulangkan kepada ibu bapa masing-masing bermula hari ini di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan kanak-kanak terbabit bawah jagaan yang baik.
“Kita harap kebajikan anak-anak ini sentiasa terpelihara dan dijaga dengan penuh kasih sayang. JKM akan teruskan pemantauan untuk pastikan mereka dapat perlindungan sewajarnya,” katanya.
Sebelum ini, JKM dilapor berhasrat memohon kebenaran mahkamah bagi melanjutkan penjagaan sebahagian anak-anak GISBH susulan tempoh perlindungan hak jagaan sementara (IPO) yang berakhir hujung bulan ini.
Pada 10 September tahun lalu, polis menyerbu 20 premis GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Dalam Op Global itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan selain dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.