Orang ramai menyertai acara larian ketika program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 12 Januari 2025. Foto MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

700 meriahkan pembukaan Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam 2025

SHAH ALAM, 12 JAN : Kira-kira 700 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan edisi pertama tahun ini.

Berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini hari ini, program itu disempurnakan Datuk Bandar Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim yang turut dihadiri Timbalannya Madiyan Baweh.

Aktiviti utama melibatkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Larian Lima Kilometer Spectrum Strides Fun Run selain aktiviti kayuhan, larian dan jalan santai.

“Sambutan amat menggalakkan sama seperti tahun sebelum, objektif kita menganjurkan program ini juga sebagai salah satu cara mengurangkan gas karbon di atas jalan raya serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat,” kata Mohd Fauzi.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim (dua, kiri) dan Timbalannya Madiyan Baweh (dua, kanan) ketika program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 12 Januari 2025. Foto MBSA

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut menyediakan aktiviti istimewa untuk kanak-kanak antaranya pertandingan mewarna, memanah, ‘Parrots Brothers’, pendakian dinding dan perpustakaan bergerak.

Turut diadakan senamrobik, Bazar Belia Shah Alam, aktiviti kraf oleh Galeri Shah Alam, saringan kesihatan percuma dan persembahan kombo MBSA.

MBSA juga memberi minuman percuma jenama Farm Fresh kepada pengunjung selain menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam on Wheels (SAOW).


Pengarang :