Oleh ALIFF HAIKAL DAN NABIHAH HAMID
SHAH ALAM, 24 JAN: Bermula dari dunia seni, penyanyi rap Altimet kini melakar sejarah tersendiri dalam arena politik selepas dipilih sebagai wakil rakyat Lembah Jaya pada 2023.
Bagaimanapun, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad mengakui menggalas tugas berat berikutan perlu menjadi contoh kepada anak seni lain.
“Kami adalah pelopor, dan apa yang kami lakukan hari ini akan menjadi cerminan untuk generasi akan datang,” katanya dalam program bual bicara “Siapa Tahu? Seni Vs Politik” di Media Selangor.
Bicara itu menyentuh cabaran, peluang dan persepsi masyarakat terhadap Altimet yang bersara sebagai penyanyi sewaktu beliau berada di kemuncak dan terjun ke bidang politik.

Memulakan karier seni pada 1995, beliau secara rasmi mengumumkan persaraannya pada 2023.
Sepanjang hampir tiga dekad dalam industri, beliau meninggalkan legasi sebagai komposer dan penulis lirik, serta ikon seni yang membangkitkan semangat generasi.
Bait-bait lagunya dekat dengan masyarakat selain diselitkan dengan kritikan dan sinikal.
Artis masuk politik
Altimet aktif dalam politik sekitar 2022 selepas penyertaannya dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN). Beliau kemudian menang besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya.
Dalam sejarah politik tanah air, hanya dua DUN dimenangi artis. Pelakon Dira Abu Zahar menjadi wakil rakyat Rim selepas memenangi pilihan raya negeri Melaka pada 2021.
Tan Sri Jins Samsudin pernah dilantik sebagai Senator Dewan Negara pada 2024. Ia menjadikannya pelakon pertama yang memegang jawatan tersebut di Malaysia.

Namun, kemunculan beberapa artis lain seperti Herman Tino, Dayangku Intan, dan Aishah yang mencuba nasib dalam pilihan raya masih belum mampu mencipta kemenangan dalam arena politik.
Dalam pada itu, Altimet berkata persepsi pengundi terhadap golongan seni dalam politik kian berubah, asalkan mereka mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.
“Dahulu ada tanggapan golongan ini tidak serius dalam politik. Mana mungkin penghibur boleh menjadi ahli politik? Ahli politik ketika itu lebih sinonim dengan tokoh agama atau profesional.
“Malah, apabila doktor mahu jadi wakil rakyat, ada juga yang mempertikaikan. Tetapi sekarang, persepsi itu sudah berubah. Apa yang penting keupayaan menjalankan tugas dengan baik,” jelasnya.
Kenapa KEADILAN, bukan DAP atau PAS?
Penyanyi lagu ‘Amboi’ ini mendedahkan pemilihan KEADILAN disebabkan penerimaan parti itu terhadap dirinya sebagai seorang individu yang membawa pengalaman berbeza.
Altimet mengakui sebelum menyertai parti itu, beliau menerima tawaran parti politik lain. Namun, hanya KEADILAN memenuhi kriterianya setelah menilai secara mendalam.’
“Parti yang boleh terima orang industri ialah KEADILAN, dan tidak melihat saya sebagai penyanyi,” katanya.

Miliki lebih 100 lagu dalam arkib
Walaupun bersara dari dunia hiburan, Altimet mendedahkan beliau memiliki lebih 100 lagu yang dirakam tetapi belum diterbitkan.
“Kalau ada permintaan saya buat, saya ada buatkan lagu tetapi tidak boleh dedahkan,” katanya.
Selain itu, beliau turut memberi banyak nasihat kepada generasi muda dalam industri seni supaya mereka dapat merancang kerjaya dan kewangan secara teratur.
Altimet kini membuktikan perjalanan seni dan politik boleh berjalan seiring, menjadikan dirinya inspirasi kepada ramai anak muda yang bercita-cita tinggi.