Suasana lobi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Petaling Jaya. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Bagaikan hotel, lobi PPR Lembah Subang 1 dihiasi lampu candelier

Sekiranya tiba ke aras enam blok D Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Petaling Jaya dengan menaiki lif, anda mungkin sangka tersesat ke sebuah hotel mewah.

Bukan sahaja cantik tetapi baunya juga harum. Alunan muzik jazz kedengaran lunak di halwa telinga. Lantainya mozek hitam putih. Dinding pula dihiasi bingkai bunga keemasan beserta panel bergalur dan cermin. Lampu candelier tambah menyerikan suasana.

Suasana lobi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Petaling Jaya. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Seperti kebanyakan hotel mewah, pergerakan keluar-masuk di situ dirakam kamera litar tertutup di lobi berkenaan.

Itulah hasil pertandingan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) ThinkCity pada 24 Ogos hingga 17 November tahun lalu.

Suasana lobi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Petaling Jaya. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Penghuni unit PPR itu sepakat menghiasi aras tersebut yang dahulunya suram, usang bahkan kadang-kala menyeramkan. Kini, ia seakan-akan hotel lima bintang.

Pertandingan tersebut melibatkan lapan blok 17 tingkat PPR yang dibina sejak 1999. Mereka diberi dana permulaan RM500.

Meski hadiah tidak selumayan mana, tetapi semangat yang ditonjolkan semua penghuni mengubah ruang aras masing-masing. Ada bertema minimalis, ada bersifat klasik, moden atau menampilkan suasana flora fauna.

Noor Rashidah Abd Halim

Penduduk Noor Rashidah Abd Halim, 35, berkata penghuni aras enam blok D memilih konsep lobi hotel dalam pertandingan kebersihan dan keceriaan itu.

“Melalui pertandingan ini baru kita tahu masing-masing ada kepakaran tanpa perlu mengupah mana-mana tukang.

“Kumpulan merancang konsep terdiri dalam kalangan wanita, perancangan ambil masa lebih kurang seminggu manakala kerja berat seperti pemasangan mozek, pendawaian, cat semuanya dibuat oleh golongan lelaki sejak 1 September hingga 21 September,” katanya.

Nur Suziela Sulaiman

Nur Suziela Sulaiman yang menetap lebih enam tahun percaya lobi sedemikian tidak mungkin dijayakan dengan bergantung kepada dana NGO. Sebaliknya, semua penduduk di 14 kediaman mengumpul hampir RM4,000 untuk menghias aras itu.

“Jumlah tersebut bukan hanya dari kami semata-mata sebaliknya ada sumbangan dari kenalan rapat, saudara-mara selain ada dalam kalangan kami menjual barangan terpakai,” kata pentadbir perakaunan berusia 36 tahun itu.

Sebaik diumum juara bagi blok D, Nur Suziela dan jiran berazam untuk menambah baik lagi persekitaran. Naib johan bagi blok D adalah tingkat 10 dan ketiga (tingkat 13A).

Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Petaling Jaya. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Walaupun sudah tamat pertandingan kita akan terus menjaga kebersihan selain bercadang mahu menumpukan keceriaan di kawasan tangga, koridor dan seragamkan pintu setiap unit kediaman.

“Menerusi pertandingan ini, hubungan kami lebih rapat, bersatu dan sentiasa bertolak ansur. Daripada aspek pembersihan kami akan lakukan bergilir-gilir mengikut jadual.

“Ini memupuk semangat kejiranan, menepis pandangan negatif terhadap PPR, menggalakkan kita menghargai persekitaran sekali gus menjadi contoh kepada generasi akan datang,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia Dr Mohammad Fahmi Ngah memuji inisiatif penduduk PPR Lembah Subang 1 itu dan berharap ia menjadi contoh kepada penghuni perumahan kos rendah mahupun sederhana.

Suasana lobi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Petaling Jaya. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Satu inisiatif yang baik secara tidak langsung menepis tanggapan masyarakat terhadap PPR yang sering kita dengar bahawa PPR usang, busuk, seram. Semangat kejiranan ini perlu ada dan patut menjadi contoh kepada yang lain.

“Saya berharap penduduk PPR Lembah Subang 1 yang turut serta dalam pertandingan mengubah suai persekitaran blok mereka agar kekal jaga kebersihan supaya ia tidak menjadi sia-sia.”

Pengarang :