Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Nazli Md Taib bercakap kepada Media Selangor selepas majlis penyerahan sumbangan dan barangan sukan angkat berat sempena Kejohanan Sukan Malaysi (SUKMA) XXI, Sarawak 2024 di Menara Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Hulu Langat pada 13 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
PBTSELANGOR

Enjoykajang MPKj promosi destinasi menarik sempena TMS2025

HULU LANGAT, 13 JAN: Pelbagai kawasan tarikan pelancongan dipromosi melalui platform Enjoykajang MPKj bagi memperkenal keunikan destinasi kepada pengunjung.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkata selaras Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025), pihaknya melaksana inisiatif itu sejak tahun lalu untuk meningkatkan promosi kawasan itu.

“Menerusi Enjoykajang MPKj di pelbagai platform media sosial termasuk Facebook dan Instagram, kita bantu promosi kawasan tarikan termasuklah ekopelancongan, rekreasi serta makanan.

“Kita mahu tarik pelancong kerana Kajang ini bukan hanya ada Sate Kajang tetapi banyak lagi seperti tempat perkhemahan, taman tema air dan sukan,” kata Nazli Md Taib kepada Media Selangor.

Kajang Street Art, Kajang di Hulu Langat

Antara tarikan dipromosi menerusi platform itu termasuk kedai biskut klasik di Kajang yang sudah beroperasi 118 tahun sejak 1907 yang menawarkan 4,000 jenis pilihan biskut, keropok dan pelbagai manisan lain.

Selain itu, lorong seni di pekan Kajang bertema ‘Kajang dulu-dulu’, kawasan pendakian Bukit Broga dan kolam air panas Sungai Lalang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) dan EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim (tiga, kanan) ketika melancarkan maskot rasmi kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025), SPARK the Fireflies di Setia City Park, Setia Alam pada 22 Disember 2024. Foto Facebook Amirudin Shari

Menyasar kehadiran lapan juta pelawat, Kerajaan Negeri berpotensi mencatat transaksi RM11.7 bilion bagi TMS2025.

Dalam Belanjawan 2025, sebanyak RM8 juta disalur bagi membuat persediaan rapi meliputi penyusunan pelbagai aktiviti, selain naik taraf kemudahan pelancongan demi merancak kehadiran pelawat ke sembilan daerah.

Lebih 100 program dan inisiatif direncana sempena TMS2025 meliputi semua daerah babitkan sektor pelancongan ilmu, sukan, makanan dan minuman serta seni budaya dan warisan negeri.


Pengarang :