SHAH ALAM, 21 JAN: Sempena sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyerahkan bantuan kepada 50 penerima berbangsa Cina.
Pemangku Timbalan Setiausaha Pengurusannya Norhisham Mohammad berkata bantuan diberi berupa hamper barangan keperluan raya bernilai RM170 dan wang tunai RM100.
“Penerima sumbangan terdiri dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40), warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).
“Sumbangan ini juga bertujuan meringankan beban penerima sekali gus memberi keceriaan kepada mereka dalam membuat persiapan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Norhisham Mohammad berucap dalam Program Sumbangan Prihatin Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di Dewan Bunga Merak, Kampung Baru Sungai Buloh, Shah Alam pada 21 Januari 2025. Foto Majlis Bandaraya Shah Alam
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sumbangan Prihatin Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di Dewan Bunga Merak, Jalan Welfare, Kampung Baru Sungai Buloh, di sini hari ini.
Sementara itu, ibu tunggal dua anak Liew Kuan Sin, 55, yang tidak pernah mendapat sebarang bantuan sebelum ini gembira apabila terpilih sebagai salah seorang penerima.
“Bantuan ini dapat meringankan beban saya sebagai ibu tunggal untuk membuat persiapan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Terima kasih kepada MBSA, ahli majlis dan ketua kampung kerana memberi peluang kepada saya untuk menerima bantuan ini,” katanya.
Wong Ah Kiu, 80, turut berterima kasih kepada MBSA dan berharap inisiatif itu diteruskan pada masa depan dengan lebih ramai dibantu.
“Persiapan Tahun Baharu Cina sederhana sahaja, cukup sekadar anak-anak, saudara-mara datang rumah makan sambil bertanya khabar mengeratkan lagi hubungan.
“Dengan bantuan ini saya boleh beli barangan keperluan raya dan hamper dikongsi bersama tetamu,” katanya.
Selain itu, Loke Seng Ahh, 77, menyifatkan bantuan itu tepat pada masanya terutama dalam keadaan harga barangan naik ketika ini.
“Terima kasih kerana prihatin dengan nasib kami dan sudi menghulurkan sumbangan wang tunai dan hamper, ia bermakna buat kami yang kurang berkemampuan,” katanya.

