Oleh Muhammad Fareed
Ilustrasi Fahmi Mustaffa
Fahmi baru saja membuka mulut untuk mencurahkan isi hatinya apabila kaunselor wanita itu tiba-tiba mengacung jari telunjuk sebagai isyarat berhenti. Sambil meletakkan helaian borang soal selidik yang baru dijawab Fahmi di atas meja, dia memberitahu bahawa sesi pada hari itu tidak dapat diteruskan. Tiada apa untuk dicurahkan, ujarnya. Hati Fahmi telah kosong.
“Kosong?” Fahmi lekapkan tapak tangan ke dada.
“Mungkin jatuh tercicir,” balas kaunselor, lugu. “Kalau awak masih nak teruskan sesi kaunseling kat sini, cari balik hati itu sampai jumpa.”
Fahmi tercengang seketika. “Tapi saya dah buat full payment untuk lapan sesi. Sekarang baru tiga sesi. Kalau tak jumpa balik hati itu, macam mana? Tak boleh dapat refund balik ke?”
Kaunselor itu menggeleng selamba sambil jari telunjuknya membuai ke kiri dan kanan. Perkara itu termaktub dalam syarat perjanjian yang ditandatangani setiap klien sewaktu pendaftaran. Sekiranya hati klien kosong atau hilang, sesi kaunseling tidak boleh diteruskan. Tidak praktikal, jelasnya, untuk mencurahkan hati yang kosong. Lebih teruk lagi, hati yang hilang. Apa yang ingin dicurahkan jika bekasnya pun tiada?
“Saya tak tahu dekat mana hati itu jatuh,” luah Fahmi. “Macam mana saya nak cari?”
Kaunselor itu menggumam seketika sambil menguis-nguis dagu. “Memang susah nak cari balik hati tu. Berdasarkan kes-kes sebelum ini, ada satu cara je untuk jumpa balik hati itu.”
“Macam mana?”
Jelas kaunselor itu, klien-kliennya sebelum ini akan rasa berdebar apabila berada dekat dengan hati yang hilang itu. Biasanya di tempat-tempat yang sering dikunjungi. Mungkin jatuh di tempat kerja; telah dibersihkan oleh pekerja pembersihan. Mungkin juga di rumah; terjatuh di bawah katil, dalam kabinet atau terselit di celah-celah sofa.
Selain daripada rumah dan tempat kerja, fikir Fahmi, ada satu lagi tempat yang berkemungkinan. Tempat dia selalu berjoging. Taman rekreasi. Dan antara ketiga-tiga tempat itu, fikirnya, taman rekreasi mungkin yang paling sukar. Kerana setiap kali berada di situ, debaran dadanya memang akan mendadak laju dek larian berkilo-kilometer.
Dan jika bukan datang berlari pun, fikirnya lagi, tetap sukar kerana taman itu agak besar.
Jika ikutkan perasaan, Fahmi ingin biarkan saja hati itu hilang. Dengan kekangan masa dan keletihan dek saban hari bekerja, dia tidak rasa mampu memberi komitmen. Namun bila mengenangkan duitnya yang bakal hangus dan perkara yang ingin dicurahkan tempoh hari, dia memasang tekad untuk mencari hati itu sampai jumpa.
Perkara yang ingin dicurahkan itu sebenarnya lebih kepada pertanyaan untuk meminta nasihat. Sudah berminggu-minggu mata Fahmi sering melekat pada seorang wanita India di tempat kerjanya. Setakat ini, dia hanya mampu curi-curi lihat dari jauh dan membalas senyuman tatkala berselisih. Dia ingin menegur. Ucapkan selamat pagi, mungkin? Namun lidahnya tiba-tiba kelu setiap kali mereka berselisih. Fikir Fahmi, mungkin kaunselor itu boleh memberi tips kerana dia juga seorang wanita. Dia tidak tahu bagaimana ingin memulakan langkah. Dia tiada pengalaman bercinta ataupun memikat wanita.
Pencarian Fahmi di tempat kerja bermula dengan beberapa siri kerja lebih masa dan pulang lewat. Hampir semua sudut dia geledah; pantri, bilik mesyuarat, bawah meja, laci-laci dan termasuklah stor pekerja pembersihan. Pernah juga dia bertanya dengan beberapa orang pekerja pembersihan, namun tiada seorang pun pernah melihat apa-apa yang pelik sewaktu mengemas pejabat itu.
Di rumah pula, semua perabot diseret dan dialih. Setiap kabinet diselongkar. Namun, cuma cicak dan lipas bertempiaran lari yang kelihatan. Di taman rekreasi, kira-kira seminggu waktu petang diluangkan untuk mencari hati itu sebelum dia akhirnya mengalah. Mungkin, fikirnya, memang sudah nasibnya begitu; duit hangus, hati hilang dan peluang untuk mengenali wanita India itupun kian pudar.
Sehinggalah suatu hari ketika sedang leka mereka poster untuk sebuah program larian, dia tiba-tiba ditegur.
“Hai. Busy ke?”
Fahmi terlongo seketika tatkala menoleh. Lewat dinding kubikel, wanita India itu sedang menjengah. Comel, bisik hati Fahmi, melihat saiz wajah wanita itu yang agak kecil. Dibatasi kaca mata, mata wanita itu tampak besar. Namun pandangannya kelihatan tenang. Helaian rambut putih yang tersisip dari pelipis ke belakang telinga pula memperlihatkan sisi-sisi kematangan. Dan hidung mancungnya pula mirip seperti hidung aktres-aktres Bollywood.
“Hello?”
Fahmi tersentak seraya mengatup mulut. Wanita itu tersengih janggal. Sekali gus mendedahkan dua batang gigi arnab. Comelnya gigi, bisik hati Fahmi. Dia cuba buka mulut untuk bercakap, namun lidahnya tiba-tiba terasa kelu. Dari balik dadanya, Fahmi dapat rasakan debaran beransur deras.
“Actually, mak cik cleaner ada tanya saya pasal barang yang tercicir,” ujar wanita itu. “She said barang tu special and… and it’s yours.”
Fahmi mengerut dahi seketika seraya mengangguk. “Ya, ya. Awak… awak ada jumpa ke barang tu?”
Wanita itu menghulurkan tangan dari atas dinding kubikel. Pada tapak tangannya, terdapat sebentuk hati berwarna merah. Terdapat kesan jahitan pada bahagian atas hati itu. Fahmi segera bangun dan menadah tangan. Dengan perlahan, hati itu berpindah dari telapak tangan wanita itu ke tangan Fahmi.
“Awak jahit?” tanya Fahmi, takjub melihat kekemasan jahitan pada hati itu.
Wanita itu mengangguk dan serta-merta meminta maaf kerana menjahit tanpa kebenaran. Jelasnya, hati itu ditemui ketika dia pulang lewat dek bekerja lebih masa beberapa minggu lepas. Mulanya, dia tidak bercadang ingin mengambil apatah lagi menjahitnya.
“Tapi, I ada some kind of anxiety,” jelasnya. “Something like OCD macam tu. So, that’s why I ended up jahit benda tu. I’m sorry.”
“Eh, jangan risau, jangan risau.” Fahmi lekas membalas. “Say… saya… saya tak kisah pun. Lagipun, saya memang dah lama nak jahit. Tapi… tapi takde apa-apalah.”
Wanita hanya itu menguntum senyum. Seolah-olah faham alasan Fahmi.
“Anyway, I’m Gow—” Wanita itu terhenti seketika. “Panggil I, G jelah.”
“IG?” Fahmi mengerut kening. “Instagram?”
G tertawa kecil. “Bukanlah. Just G. G for gadis. G for girl.”
Fahmi baru saja ingin membuka mulut untuk memberitahu namanya. Namun, G tiba-tiba meminta diri dan segera berpaling. Fahmi ingin memanggil G, namun lidahnya kelu lagi. Pandangan matanya melompat di antara tubuh kecil G yang sedang berjalan pergi dan hati di telapak tangan.
Hati yang dulunya koyak, fikir Fahmi, telah dijahit semula. Tapi kenapa dipulangkan? Lebih tepat lagi, kenapa dijahit semula jika ingin dipulangkan? Itulah persoalannya. Persoalan yang akan dia ajukan pada sesi kaunseling seterusnya.