Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Meru di Taman Dato’ Bandar, Klang pada 16 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan Ehsan Rahmah 2025 buka tirai Isnin, tawar 12 produk berkualiti, murah

SHAH ALAM, 11 JAN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) untuk tahun ini akan kembali menjelajah ke serata Selangor mulai 13 Januari.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan jualan murah barangan asas berehat seketika selama 12 hari mulai 1 Januari untuk proses penyenggaraan kenderaan dan gudang.

“JER akan berehat seketika pada 1 hingga 12 Januari sempena hari pelepasan am sambutan tahun baharu dan tempoh selenggara kenderaan serta gudang,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim memaklumkan JER yang menjual enam produk utama keperluan penduduk bakal bertambah kepada 12 produk mulai tahun ini.

Orang ramai mendapatkan pelbagai barangan asas murah pada Jualan Ehsan Rahmah DUN Kuala Kubu Bharu di Karnival Kepenggunaan KPDN Selangor yang diadakan di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu pada 4 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan JER, sekali gus membuktikan komitmen pentadbiran negeri membantu meringankan sara hidup rakyat berpendapatan rendah.

Ketika membentangkan belanjawan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor turut menyasarkan pembukaan 10 premis Ehsan Mart menjelang akhir tahun ini.

Cawangan pasar raya yang menawarkan barangan asas pada harga 15 peratus lebih rendah daripada pasaran telah dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, DUN Pandan Indah dan bakal dibuka di DUN Hulu Kelang.

Ehsan Mart yang diwujudkan sebagai penambahbaikan program JER turut menyasar melengkapkan pembukaannya di 56 DUN menjelang 2027.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Pasar Raya Ehsan Mart Sungai Tua Dataran Selayang, Gombak pada 6 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MDIA SELANGOR

Selain itu, PKPS dengan kerjasama Segi Fresh menyasarkan pembukaan 10 cawangan Pasaraya Ehsan Segi Fresh. Pasar raya pertama telah dibuka di Bagan Nakhoda Omar, Bernam Jaya.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.

 


Pengarang :