AMPANG JAYA, 18 JAN: Perkembangan positif ekonomi di samping kemasukan pelaburan yang agresif sepanjang tahun lalu menyumbang kepada hasil pendapatan negeri RM2.858 bilion.
Dato’ Menteri Besar berkata rekod pencapaian tertinggi itu turut dibantu oleh pembukaan kawasan industri baharu, pembangunan, perkilangan, pusat data dan pusat kecemerlangan yang rancak berkembang.
“Selangor mencatat hasil akhir pendapatan 2024 berjumlah RM2.858 bilion, tertinggi dalam sejarah negeri. Jumlah itu melepasi pencapaian terbaik kutipan pada 2017 sebanyak RM2.811 billion.
“Sepanjang tahun lalu juga. Selangor mencatat prestasi perbelanjaan mengurus sebanyak 98.07 peratus dan perbelanjaan pembangunan 97.18 peratus,” katanya Dato’ Seri Amirudin Shari.
Ucapan berkenaan dibacakan EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin ketika mewakili Amirudin di Majlis Makan Malam Apresiasi Pembangunan Ampang Jaya di sini malam tadi.
Amirudin berkata kerjasama erat antara pentadbiran negeri dengan sektor swasta selain sokongan polisi turut menyumbang kepada kejayaan berkenaan.
“Terima kasih pihak pemaju dan swasta yang seiring dengan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam memacu ekonomi negeri dan tempatan.
“Pemaju patuh dengan semua dasar dan peraturan yang kita tetapkan dalam syarat permohonan kawalan pemajuan dan kebenaran merancang,” katanya.
Selangor memperoleh kutipan hasil RM2.7 bilion pada 2023, RM2.5 bilion (2022) dan RM2.3 bilion pada 2021.
Pada Julai tahun lalu, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Selangor sekali lagi menjadi penyumbang tertinggi kepada sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 25.9 peratus tahun lalu.
Meningkat 0.4 peratus berbanding 2022, nilai ekonomi Selangor juga buat pertama kali mencecah RM406.1 bilion, sekali gus menjadi negeri pertama di Malaysia melebihi paras nilai RM400 bilion.
Pakar ekonomi Bank Dunia di Malaysia Dr Apurva Sanghi menerusi ciapan di laman X memaklumkan Selangor muncul negeri baharu berpendapatan tinggi berdasarkan Laporan Bank Dunia.
Negeri tersebut mencapai pendapatan negara kasar (GNI) USD14,291 (RM67,374), melepasi paras GNI per kapita peringkat negeri iaitu USD14,005 (RM66,026)