Terjunan ‘base jump’ antara gimik perasmian pada Majlis Pengisytiharan Gombak-Hulu Langat Geopark sebagai Geopark Kebangsaan Pertama Selangor di Taman Ekstrem Gua Damai, Gombak pada 16 November 2024. Foto Tourism Selangor
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Lebih 100 program di sembilan daerah gamit pelancong ke Selangor

Tahun ini misi besar Kerajaan Selangor menggamit pelancong tempatan dan antarabangsa berkunjung dan berbelanja ke negeri ini.

Menyasar kehadiran lapan juta pelawat, Kerajaan Negeri berpotensi mencatat transaksi RM11.7 bilion bagi Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS 2025).

Dalam Belanjawan 2025, sebanyak RM8 juta disalur bagi membuat persediaan rapi meliputi penyusunan pelbagai aktiviti, selain naik taraf kemudahan pelancongan demi merancak kehadiran pelawat ke sembilan daerah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) dan EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim (tiga, kanan) ketika melancarkan maskot rasmi kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025), SPARK the Fireflies di Setia City Park, Setia Alam pada 22 Disember 2024. Foto Facebook Amirudin Shari

Dato’ Menteri Besar memaklumkan agensi kerajaan khususnya Tourism Selangor dan pihak berkuasa tempatan bekerjasama demi menjayakan kempen yang bertema ‘Surprising Selangor!’.

Lebih 100 program dan inisiatif direncana meliputi semua daerah babitkan sektor pelancongan ilmu, sukan, makanan dan minuman serta seni budaya dan warisan negeri seperti diumum Dato’ Seri Amirudin Shari dalam belanjawan.

Antara program utama yang dirangka termasuklah Festival Kesenian Islam, siri Majlis Darul Ehsan Berselawat dan Festival Turath Islami dengan dana RM1.5 juta.

“Tradisi keilmuan Islam berasaskan turath atau kitab muktabar seharusnya menjadi tumpuan, bukannya kandungan TikTok yang menghasut, menimbulkan perpecahan atau kekeliruan,” kata Amirudin ketika membentangkan belanjawan itu pada 15 November lalu.

EXCO Sukan Najwan Halimi bersama Ketua Pegawai Eksekutif, PREC Fakru Radzi Ab Ghani melakukan gimik pelancaran kejohanan Pickleball PREC 2024 di Gelanggang ARENA A.T.A.S @ SACC Mall Shah Alam pada 22 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Selain memperbanyak majlis ilmu, RM1 juta turut disalur bagi penganjuran Kejohanan Antarabangsa Bola Pikel Selangor yang bakal menarik kehadiran pemain profesional dan penonton dari dalam serta luar negara beraksi di negeri ini.

Walaupun mampan di Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom, ramai atlet antarabangsa dijangka menyertai pertandingan sukan itu apabila Selangor berhasrat menjadi tuan rumah meskipun sukan itu masih baharu buat rakyat tempatan.

Acara itu juga dilihat sebagai persediaan Selangor mencungkil bakat baharu yang berpotensi mewakili negeri pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Tidak ketinggalan, artis hiburan dan penggiat seni turut dilibatkan melalui pesta kebudayaan dan warisan negeri.

Penyokong dari Jepun memakai pakaian tradisional mereka “Kimono” ketika menyaksikan perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2024 di Litar Antarabangsa Sepang pada 3 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Inisiatif pengecualian duti hiburan kepada artis tempatan yang dilaksana Kerajaan Negeri sebelum ini dan 10 peratus kepada selebriti antarabangsa turut diteruskan.

Pameran bertiket turut menikmati pengurangan duti kepada 15 peratus, berbanding 25 peratus sebelum ini.

Menjadi identiti kepada program kebudayaan negeri, Pesta Rentak Selangor akan terus diperkasa.

Beberapa program memartabatkan elemen dan identiti seni negeri seperti muzik cempuling, tariab Joget Selangor serta seni tekstil Kelingkan akan dianjurkan bagi menarik ramai pelancong hadir sekali gus merancakkan industri hiburan di sini.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan merasmikan Festival Makanan Warisan Selangor di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada 17 November 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Jika program Fiesta Makanan Warisan pada tahun lalu berlangsung meriah, tahun ini penganjuran julung kali Pesta Kopi Selangor (SELCOF) dijangka menarik lebih ramai pelancong dengan peruntukan RM1 juta.

“Di samping menganjurkan Asean Barista Championships sebagai peluang untuk barista-barista di Selangor untuk membangun dan bersaing dengan pakar-pakar dunia kopi di seluruh Asia Tenggara,” kata Amirudin.

EXCO Pelancongan Ng Suee Lim (tengah) bergambar ketika melawat ke Farm In The City, Seri Kembangan pada 5 September 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim mahu TMS2025 dilaksana selari dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang bakal berakhir tahun ini.

Justeru, peruntukan besar serta pelbagai inisiatif lain yang disalur tanda Kerajaan Negeri serius mahu merealisasikannya.

“Peruntukan ini mencerminkan komitmen dalam memajukan sektor pelancongan Selangor sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

“Dengan sasaran lapan juta pelancong mampu menghasilkan anggaran pendapatan pelancongan sebanyak RM11.7 bilion dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu,” kata beliau pada 23 Disember lalu.

Suasana di taman tema air SplashMania di Bandar Gamuda Cove, Kuala Langat ketika tinjauan pada 2 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Kumpulan agen pelancongan dari Thailand yang datang melawat Anjung Utara dibawa ke Pantai Kuala Selangor lebih dikenali sebagai “Mirror of the Sky” kerana perairan cetek ini seperti cermin di Kuala Selangor pada 11 Januari 2024. Foto Foto Sky Mirror
Pemandangan dari udara suasana Villa Chee di Sekinchan dengan latar belakang sawah padi ketika senja. Foto TOURISM SELANGOR
EXCO Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah merasmikan Festival Merakyatkan Seni Budaya Mah Meri @ Selangor 2023 (FMSB) di Perkarangan Pusat Kraf Orang Asli Kampung Sungai Bumbun Pulau Carey Banting. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
Taman Eko Rimba Sungai Tua. Foto Selangor Travel

 


Pengarang :