Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media ketika selepas sidang media Kejohanan Golf Antarabangsa Remaja Selangor Ke-4 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 15 Januari 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

Loji insinerator Batu Arang: Negeri cari penyelesaian libat semua pihak

PETALING JAYA, 16 JAN: Kerajaan Negeri masih belum memperoleh Kebenaran Merancang (KM) bagi pembangunan loji rawatan termal atau insinerator di Batu Arang, Rawang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perancangan projek berkenaan perlu dilakukan secara teliti bagi memastikan situasi menang-menang kepada semua pihak.

“Belum sampai ke KM pun. Memang ada bantahan tetapi kita tidak boleh bayangkan insinerator itu seperti 40 tahun lepas. Insinerator ini akan memastikan kita dapat uruskan sampah dengan berkualiti.

“Saya sedang bincang secara keseluruhan dan kita akan pastikan situasi menang-menang berlaku,” katanya ditemui pemberita di Kelab Golf Seri Selangor di sini, semalam.

Amirudin menambah, pembangunan loji insinerator sedang dilaksanakan di Jeram yang dijangka siap tahun ini, selain di Tanjung Dua Belas, Kuala Langat.

ADN Rawang Chua Wei Kiat dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen bergambar bersama penduduk selepas Sesi Dialog Bersama Wakil Rakyat: Kesan Insinerator Kepada Kesihatan dan Kesejahteraan Penduduk di Batu Arang, Rawang pada 1 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Minggu lalu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jaringan Rawang Tolak Insinerator menerusi kenyataan mendakwa Kerajaan Negeri masih membisu terhadap bantahan penduduk sekitar.

Tahun lalu, Kerajaan Selangor merancang melaksanakan libat urus melalui KDEB Waste Management bersama penduduk berkaitan bantahan pembangunan loji insinerator di kawasan terbabit.

Amirudin dilapor berkata sesi libat urus itu diadakan bagi memberikan maklumat tepat berkenaan perancangan pembangunan loji sisa kepada tenaga.


Pengarang :