SHAH ALAM, 16 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan zakat sebanyak RM36.4 juta bagi membiayai persiapan persekolahan 70,588 anak asnaf fakir, miskin dan mualaf tahun ini.
LZS memaklumkan, penerima membabitkan 1,119 murid prasekolah, sekolah rendah (33,117 murid) serta menengah kebangsaan dan agama seramai 36,292 pelajar.
“Pemberian bantuan persekolahan ini merupakan inisiatif tahunan yang dilaksanakan bagi meringankan beban ketua keluarga asnaf yang berdaftar dengan LZS.
“Ia bagi membantu menyediakan kelengkapan persekolahan serta menampung kos yuran sekali gus memastikan kebajikan pendidikan golongan asnaf di Selangor terus terbela,” katanya menerusi kenyataan.
Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS Dato’ Paduka Emeritus Prof Dr Muhamad Awang dalam majlis yang diadakan di Institut Perakaunan Negara, Sabak Bernam, hari ini.
Menurut LZS, setiap pelajar sekolah kebangsaan menerima bantuan kelengkapan persekolahan sebanyak RM170, manakala murid sekolah rendah agama RM150 seorang.
Bagi pelajar sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama, tambah kenyataan itu, masing-masing menerima sebanyak RM200.
“Kelengkapan persekolahan ini meliputi pakaian seragam, peralatan seperti beg, alat tulis dan sebagainya.
“Setiap pelajar diwajibkan membeli sepasang pakaian seragam sekolah dan selebihnya untuk membeli keperluan yang lain berdasarkan syarat dan panduan yang ditetapkan,” katanya.
LZS menjelaskan, semua pelajar juga menerima bantuan yuran persekolahan antara RM100 hingga RM250 selain bantuan tambahan sebanyak RM100 bagi menampung keperluan persekolahan lain.
Secara purata, katanya, setiap keluarga menerima bantuan sehingga RM2,000, bergantung kepada jumlah tanggungan dalam keluarga.
“Pemberian bantuan ini disalurkan melalui tiga kaedah bayaran iaitu kredit ke akaun bank ketua keluarga, baucer tunai (V-Cash) atau secara tunai,” katanya.