Menara Zakat Sultan Idris Shah di Seksyen 14, Shah Alam pada 23 Januari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS terus perkasa asnaf, sasar bantu 94,000 keluarga tahun ini

SHAH ALAM, 24 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasar untuk membantu 94,000 keluarga asnaf tahun ini, selain berhasrat mengeluarkan 4,500 individu daripada kategori tersebut.

Pengerusinya Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata pihaknya akan terus memperkasa golongan itu, selain mendorong mereka untuk berdikari, dan tidak mengharapkan bantuan sementara.

Menurutnya, hampir 80,000 keluarga asnaf dan lebih 5,000 mualaf disantuni tahun lalu, dengan sekitar 4,000 penerima zakat melepasi haddul kifayah dan keluar daripada kategori asnaf.

Pengerusi Lembaga Zakat Selangor Tan Sri Anwar Jamalullail berucap sempena majlis perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah di Seksyen 14, Shah Alam pada 23 Januari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Ini adalah bukti keberkesanan usaha kami melalui program pembangunan yang disediakan untuk golongan asnaf termasuk keusahawanan, kerjaya dan pendidikan peringkat pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, semalam.

Dalam pada itu, Syed Anwar berkata lebih 350,000 penerima zakat disantuni dengan peruntukan lebih RM11 bilion sepanjang tiga dekad LZS ditubuhkan sejak 1994.

“LZS menjadi tonggak utama menyantuni mereka yang memerlukan terutama asnaf. Sejak ditubuhkan, misi kami memberi perkhidmatan integriti dan profesional bagi meningkatkan kualiti hidup umat Islam,” katanya.

 


Pengarang :