SHAH ALAM, 17 JAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup 50 batang kayu bakau berdekatan Jeti Pulau Ketam, Klang dekat sini semalam.
Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata rampasan jam 11.30 malam itu susulan risikan di sekitar perairan negeri ini.

“Bot Maritim Malaysia diatur gerak untuk melakukan tangkapan dan setibanya di lokasi, bot fiber tanpa nombor pendaftaran itu cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa dengan dua lelaki bertindak terjun ke laut dan berenang ke daratan untuk menyelamatkan diri.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan sarat dengan muatan 50 batang kayu bakau dan kes disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984, iaitu memindahkan hasil hutan tanpa lesen atau permit sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Muhaimin berkata bot fiber serta muatan berkenaan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
– BERNAMA