PETALING JAYA, 15 JAN: Selangor akan memulakan mesyuarat pertama penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 pada Isnin depan, bagi meneliti persediaan negeri secara keseluruhan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penganjuran lokasi utama SUKMA bagi menggantikan Stadium Shah Alam masih belum dimuktamad, dengan beberapa pilihan sudah tersenarai.
“Kita tidak mahu tergesa-gesa sehingga menyebabkan kualiti stadium terganggu. Kita akan bincang balik dengan pihak pembangunan stadium sama ada boleh siap atau tidak.
“Yang kedua kita akan senaraikan beberapa pilihan seperti adakan di Stadium Merdeka atau Stadium Bukit Jalil, atau laksanakan secara tertutup di Stadium Melawati,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu beliau melancarkan Kejohanan Golf Antarabangsa Remaja Selangor dan PKNS Selangor Masters di Kelab Golf Seri Selangor di sini hari ini, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.
Dalam pada itu, Amirudin menambah Kerajaan Negeri akan melihat keperluan penganjuran acara sukan SUKMA di daerah lain, khususnya membabitkan kawasan di luar bandar.
“Secara asas kemudahan sukan di Selangor tidak tertumpu kepada satu tempat sahaja tapi kita akan lihat dari segi pelaksanaan. Kalau gunakan kemudahan di Sabak Bernam akhirnya akan libatkan isu jarak dan kos.
“Bagaimanapun perkara itu bergantung kepada jawatankuasa SUKMA yang akan memberikan cadangan,” katanya.
Minggu lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Yazid Sairi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Venu Ramadass sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) bagi Sekretariat SUKMA Selangor 2026.
EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi dilapor berkata pelantikan itu sebahagian daripada proses awal untuk memastikan penganjuran temasya SUKMA ke-12 dapat dilaksanakan dengan lancar dan berjaya.
