Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

MB: Teroka sumber air alternatif sokong pembangunan pusat data

Oleh Danial Dzulkifly

HULU SELANGOR, 24 JAN: Selangor meneroka sumber air alternatif untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi penyejukan setiap aktiviti di pusat data sedia ada dan akan datang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 26 permohonan pusat data diluluskan pentabdiran negeri setakat ini, dengan sebahagian besarnya sudah beroperasi.

“Pusat data memerlukan air lebih tulen berbanding air minuman biasa. Pengendali pusat data juga sedang meneroka teknologi alternatif untuk menyejukkan peralatan, seperti sistem pendingin hawa.

“Kita juga sedang meneliti keperluan untuk mengambil air terus dari sungai dan merawat secara khusus untuk kegunaan di pusat data. Perkara ini sedang dipertimbang,” katanya semalam.

Menurut Amirudin, permintaan air terawat diunjurkan akan mencapai kira-kira 200 juta liter sehari (JLH), jika Selangor meluluskan semua permohonan pusat data yang belum selesai.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bercakap kepada media pada selepas merasmikan Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali pada 23 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Namun, jika mereka (pengendali) dapat menggunakan sumber alternatif atau jika kita tubuhkan kemudahan khusus untuk merawat air sungai mentah, ia boleh diuruskan,” katanya lagi.

Selasa lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyifatkan cadangan membangunkan lebih banyak pusat data sebagai tidak mampan kerana kebergantungan besar terhadap air boleh diminum.

Pengerusinya Charles Santiago berkata negara boleh menghadapi krisis air jika pentadbiran persekutuan dan negeri tidak berhati-hati dalam meluluskan pembinaan pusat data tersebut.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd melaksanakan pelan menyeluruh untuk memenuhi keperluan pusat data, industri tempatan, dan penduduk.

Dijangka siap tahun depan, pelan itu, menurutnya, akan meningkatkan kapasiti sebanyak 1,400 JLH selain terus mempergiat usaha menaik taraf beberapa loji rawatan air (LRA).

“Naik taraf termasuk LRA Labohan Dagang dan jika diperlukan, kemudahan lain seperti Fasa 2 LRA Langat 2 juga antara projek utama yang sedang dijalankan.

“Ini akan memastikan bekalan air yang boleh dipercayai, termasuk untuk pusat data,” katanya.


Pengarang :