SHAH ALAM, 12 JAN: Pemilik anjing di sekitar daerah Klang digesa mendapatkan lesen haiwan peliharaan mereka dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
MBDK menerusi Facebook memaklumkan tindakan ini selaras dengan kehendak dan keperluan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MPK) 2007.
“Permohonan lesen anjing peliharaan ini boleh dibuat secara dalam talian menerusi http://mylesen.mpklang.gov.my/login dengan kadar bayaran serendah RM10 bagi seekor anjing setahun,” katanya.
Semalam, MBDK menganjurkan program melesenkan anjing peliharaan secara in-situ di Dewan Ambang Botanik 2, Bandar Botanik Klang bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.
Jelasnya, program itu dilaksana bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti Klang yang memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan.
“Menerusi program tersebut sebanyak 95 ekor anjing berjaya dilesenkan manakala 32 anjing turut divaksin oleh agensi swasta (Claws Veterinary Clinic).
“Program ini diharap dapat memupuk sikap tanggungjawab yang tinggi dalam kalangan pemilik anjing bagi menjaga kebajikan haiwan peliharaan dan secara tidak langsung mengawal kacau ganggu setempat,” katanya.
Pada program sama, MBDK turut membuka kaunter semakan pelbagai jenis kompaun dan pameran pencegahan demam denggi bagi kesedaran kepada pengunjung.