OLEH DEWI ABDUL RAHMAN
PETALING JAYA, 18 JAN: Kegembiraan jelas terpancar di wajah 100 penerima berbangsa Tionghua terdiri daripada warga emas dan ibu tunggal di kawasan Petaling Jaya, yang menerima sumbangan berjumlah RM300.
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata inisiatif dilaksana Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) setiap tahun sempena Tahun Baharu Cina itu bertujuan mengurangkan beban golongan kurang mampu di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.
“Perayaan Tahun Baharu Cina bukan sekadar tradisi dan sambutan tetapi juga peluang untuk kita berbakti serta membantu mereka yang memerlukan.

“Ia mencerminkan semangat keprihatinan dan kebersamaan MBPJ, memastikan tiada golongan dipinggirkan ,” katanya selepas penyerahan sumbangan itu di Kompleks Sukan Arena Petaling Jaya.
Turut menerima sumbangan adalah daripada golongan B40 dan miskin bandar di kawasan berkenaan.
Beliau berkata usaha itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial MBPJ sejajar dengan sasaran Kerajaan Selangor melalui Rancangan Selangor Pertama (RS1), bawah strategi kedua iaitu Peningkatan Kesejahteraan dan Keterangkuman Sosial.
“Apabila PJ telah dinobatkan sebagai bandar paling bahagia tahun lepas, kebahagiaan itu kita pamerkan menerusi pemberian seumpama ini,” katanya.