PETALING JAYA, 25 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor menyertai inisiatif Rangkaian Global untuk Bandar dan Komuniti Mesra Usia (GNAFCC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata penyertaan Petaling Jaya dalam GNAFCC sebagai langkah proaktif dalam menuju ke status negeri menua dan memelihara kesejahteraan warga emas.
“GNAFCC ditubuh WHO pada 2010 yang menyatukan komuniti dan organisasi seluruh dunia dengan visi menjadikan bandar mereka tempat yang ideal untuk penuaan.
“Ia juga untuk mengukuhkan status bandar raya Petaling Jaya yang terkehadapan merancang strategi memelihara kesejahteraan warga emas,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Mohamad Zahri menerima sijil penyertaan GNAFCC dari wakil WHO Malaysia Dr Rabindra Abeyasinghe di bilik gerakan ibu pejabat MBPJ, semalam.
Beliau menambah pihaknya akan menjalankan kajian penilaian asas bagi meneliti demografi dan kadar pertumbuhan warga emas dari aspek kesihatan, kesihatan dan kesejahteraan.
“Kajian akan menilai tahap akses sedia ada terhadap perumahan, perkhidmatan kesihatan, kemudahan awam dan program sokongan lain diperlukan golongan rentan ini,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Rabindra memaklumkan pihaknya akan membantu MBPJ meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan dan kemudahan infrastruktur warga emas di Petaling Jaya.
“MBPJ menjadi PBT pertama di Selangor dan Petaling Jaya merupakan bandar keenam menyertai GNAFCC.
“Kami sangat mengalu-alukan penyertaan MBPJ dan akan berkongsi kepakaran untuk mencapai visi bandar usia emas,” jelasnya.