Ahli Majlis MBSA Siow Fun Yean menujukkan tempat pembuangan sampah haram di tempat letak kenderaan Jalan Setia Gemilang U13/47, Seksyen U13, Shah Alam pada sidang media 20 Januari 2025. Foto Facebook MBSA
PBTSELANGOR

MBSA kompaun pemandu lori, buang sampah di kawasan larangan

Oleh Amirahwani Rahimi

SHAH ALAM, 22 JAN: Seorang pemandu lori dikompaun RM500 oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana membuang sampah di kawasan larangan dekat Jalan Setia Gemilang U13/47, Seksyen U13 di sini.

Ahli Majlis MBSA Zon 21 Siow Fun Yean berkata tindakan diambil susulan aduan orang ramai berkenaan sebuah lori yang membuang perabot terpakai termasuk sampah domestik di kawasan parkir di situ.

“Pengadu ada beritahu saya dan siasatan telah diambil terhadap pemandu lori terbabit. Kita sudah beri kompaun kepada pelaku tersebut,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Menurutnya, tindakan diambil bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MBSA 2007 Peruntukan 4.

Dalam pada itu, Fun Yean berkata penduduk setempat mengadakan gotong-royong di kawasan berkenaan pada 20 Januari untuk membersihkan sisa buangan seperti plastik dan botol.

 


Pengarang :