SHAH ALAM, 23 JAN: Sebanyak 29 persatuan penduduk dan individu di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memenangi Anugerah Hijau Komuniti Zon Bersih Mini (Mini Zee Bee) 2024.
Penerima membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM66,000, plak dan sijil penghargaan atas komitmen cemerlang masing-masing melestari alam sekitar dan mewujudkan kejiranan hijau.

Pemangku Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Madiyan Baweh berkata anugerah itu bagi menghargai usaha komuniti terlibat membudayakan kehidupan harmoni dengan mewujudkan persekitaran hijau, bersih dan sihat.
“Pertandingan ini berorientasikan kebersihan, amalan terbaik, pintar, inovasi, kreativiti dan kejiranan sihat yang memenuhi matlamat pembangunan mampan.
“Ia juga berjaya mewujudkan konsep kejiranan hijau dan persekitaran baharu dalam kawasan kediaman masing-masing,” katanya berucap pada majlis apresiasi pemenang pertandingan Anugerah (Mini Zee Bee) di sini, malam tadi.

Menurutnya, pertandingan itu dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada komuniti mengenai kepentingan melestari alam sekitar dan mempraktikkan kaedah kehidupan lestari.
Melibatkan lima kategori iaitu juara antara juara, terbuka, komponen, pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam terbaik dan ‘local warrior’ terbaik yang dinilai menerusi beberapa kriteria termasuk konsep kejiranan hijau, pengindahan, kemudahan awam, orang kurang upaya dan amalan gaya hidup.

Sementara itu, pengerusi rukun tetangga Al-Husna Seksyen 20, berkata kejayaan komuniti itu merangkul johan bagi kategori juara antara juara dengan hadiah wang tunai RM10,000 memangkin semangat komuniti itu untuk terus melestarikan kawasan kejiranan mereka.
Raja Abd Aziz Raja Ahmad berkata diusahakan sejak 2007, insiatif melestari alam sekitar oleh komuniti berkenaan merangkumi pelbagai aspek termasuk kitar semula, ternakan ikan air tawar, kebun sayur-sayuran dan buah-buahan yang kini menyumbang hasil pendapatan kepada penduduk sekitar.

Bagi pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 17 Timur dan Barat Mohd Asri Ismail kejayaan memenangi tempat pertama kategori terbuka diyakini akan terus mendorong semangat komuniti untuk meneruskan usaha membentuk kejiranan lestari.
“Di pusat komuniti ini, kita wujudkan pusat kitar semula pandu lalu automatik, sistem penuaian air hujan, kebun komuniti selain membentuk pasukan bola dan pickle ball yang mendapat penglibatan kira-kira 500 penduduk termasuk belia,” katanya.