HULU LANGAT, 13 JAN: Pembinaan padang bola sintetik bernilai RM2.6 juta di Kompleks Sukan, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi akan menyediakan kemudahan aktiviti riadah selesa dan moden untuk rakyat.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Nazli Md Taib berkata dijangka siap akhir Mei ini, padang berkenaan dibina dengan memenuhi piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Padang ini kelak bukan saja bakal memanfaatkan komuniti setempat, tetapi ia juga boleh menarik pasukan bola sepak negeri dan antarabangsa untuk sesi latihan mereka sekiranya memenuhi piawaian FIFA.
“Jadi kita sasar untuk bina padang sintetik yang menepati piawaian FIFA. Padang sedia ada ini kita naik taraf dan tukar rumput kepada rumput sintetik. Kontraktor yang dilantik juga berpengalaman dan pernah membina beberapa padang yang memenuhi standart badan antarabangsa itu.
“Cuma di sini konsepnya sedikit berbeza, selain padang bola sepak terdapat kemudahan awam lain yang digunakan untuk riadah,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, MPKj juga merancang membina beberapa lagi padang sintetik yang bukan saja sesuai untuk aktiviti riadah tetapi bakal menjadi sumber pendapatan kepada pihak berkuasa tempatan itu.
“MPKj ada banyak kawasan lapang yang sesuai dijadikan padang sintetik. Jadi memang kita rancang untuk membina beberapa lagi sebab ia boleh mendatangkan pendapatan kepada pihak majlis,” katanya.
Terdahulu, Nazli menyempurnakan majlis pecah tanah kerja-kerja membina padang bola sintetik di Kompleks Sukan, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.
Padang berkeluasan 7,200 meter persegi itu bakal dilengkapi teknologi terkini termasuk pad penyerap hentakan rumput tiruan yang mengurangkan kesan jatuh dan perlanggaran kepada pemain.
