BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPKj: Rebat sehingga RM15 bagi 15,000 pembayar cukai taksiran terawal

SHAH ALAM, 15 JAN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menawarkan rebat bagi 15,000 akaun terawal membayar cukai taksiran 2025 setahun tanpa tunggakan secara dalam talian mulai 1 Januari.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, rebat RM15 ditawarkan kepada 5,000 akaun terawal yang melunaskan cukai tersebut melalui aplikasi MyMPKj4u sehingga 28 Februari ini.

Rebat RM10 pula diberikan kepada 10,000 akaun terawal melalui platform eBAYAR, PBTPay, JomPAY, Kawanku Phone Banking dan perbankan dalam talian Maybank, AmBank, HSBC, RHB dan Bank Rakyat.

“Semua pemilik pegangan bertaraf individu berstatus aktif di kawasan MPKj layak menerima rebat kecuali bagi akaun dan pegangan yang dikecualikan atau tidak dikenakan cukai bagi 2025.

“Syarat lain, tidak mempunyai tunggakan atau lebihan bayaran pada tarikh yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada 13 Januari.

MPKj turut memaklumkan tiada penghantaran bil cukai taksiran secara fizikal dan pemegang akaun diminta menyemak cukai taksiran masing-masing secara dalam talian.

 


Pengarang :