Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Nazli Md Taib menyempurnakan Majlis Pecah Kerja-Kerja Membina Padang Bola Sintetik di Kompleks Sukan, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/MEDIA SELANGOR
PBTSELANGOR

MPKj tumpu projek naik taraf kemudahan awam, sistem perparitan

HULU LANGAT, 13 JAN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menumpukan projek menaik taraf kemudahan awam dan sistem saliran bagi mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan pentadbirannya, tahun ini.

Yang Dipertuanya Nazli Md Taib berkata perancangan tersebut merangkumi membaik pulih pasar Sungai Long dan pasar Kajang sekali gus bagi memberi lebih keselesaan kepada orang ramai.

“Selain itu kompleks sukan Seksyen 15, Bandar Baru Bangi akan dilengkapi padang bola sintetik yang akan memberi peluang kepada komuniti setempat menikmati kemudahan riadah lebih moden dan selesa,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata pihaknya juga akan membentangkan syor kepada Kerajaan Negeri berhubung sistem saliran dan perparitan bagi mengurangkan risiko banjir kilat di beberapa kawasan panas antaranya bandar Kajang dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

“Tahun ini Kerajaan Negeri sudah minta semua pihak berkuasa tempatan di Selangor termasuk MPKj untuk mengenalpasti  kawasan panas banjir kemudian perlu kemuka cadangan penambahbaikan atau penyelesaian.

“Semua cadangan dalam tindakan jabatan kejuruteraan MPKj dan kita akan kemukakan kepada Kerajan Negeri dijangka awal Februari nanti,” katanya.

Pada 9 Disember, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim mengumumkan pemilik harta di Selangor menerima potongan sehingga 75 peratus kadar baharu cukai taksiran.

Mereka hanya perlu membayar 25 peratus daripada keseluruhan kadar kenaikan di semua pihak berkuasa tempatan mulai 1 Januari 2025 selain meneruskan pengecualian cukai taksiran bagi rumah kos rendah di Selangor juga diteruskan bagi tahun kesepuluh.

Menurut Suee Lim lebihan cukai taksiran susulan penilaian baharu itu boleh digunakan untuk menaik taraf infrastruktur seperti longkang dan dewan selain menampung peningkatan kos pengurusan kutipan sampah serta keperluan lain.

 


Pengarang :