OLEH AIDA NYAN
SHAH ALAM, 5 JAN: Perbincangan susulan akan dibuat bersama pemaju bagi memastikan sekitar 200 penduduk Taman Seri Alam, Saujana Utama mendapat sagu hati seperti yang dijanjikan.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras berkata tiada kata putus dicapai setakat ini berikutan perbincangan yang sepatutnya berlangsung Khamis lalu ditangguhkan.
“Sehingga hari ini, kita belum dapat tarikh daripada pemaju dan kita akan kejar sampai dapat sebab itu arahan daripada Kerajaan Negeri,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

“Sepatutnya pertemuan berlaku pada Khamis tetapi pemaju minta masa. Kita tengok minggu depan, kita akan buat tindakan susulan dan bantu penduduk untuk bantuan (berkaitan).”
Pada masa sama, beliau turut meminta Kerajaan Negeri menyemak semula kelulusan kebenaran merancang bagi sesuatu projek perumahan untuk mengelakkan insiden sama berulang.
“Banjir daripada pemaju ini bukan yang pertama dan terakhir, selalu sangat berlaku. Kadangkala projek baharu bagus tetapi kesannya pada perumahan lama,” kata Mohd Khairuddin lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya berusaha mendapatkan bantuan daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan institusi zakat bagi meringankan beban penduduk.

Pada 29 Disember, dinding sebuah kolam takungan berhampiran Taman Seri Alam pecah menyebabkan kawasan perumahan sekitar dilimpahi air, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Difahamkan, kejadian tersebut kali kedua berlaku dan ia lebih teruk berbanding 2015.
Berikutan insiden itu, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerusi yayasannya menyumbang 300 bakul makanan kepada mangsa terlibat, baru-baru ini.
Bantuan turut diberikan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang meninjau kawasan berkenaan, semalam.