SHAH ALAM,14 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menambah lapan lagi unit kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau aktiviti pembuangan sampah di lokasi panas serta mengenal pasti pelaku.
Unit komunikasi korporatnya memaklumkan CCTV yang diletakkan di Jalan PJU 1A/7, Jalan SS 20/11, Jalan PJS 1/21A dan Jalan 18/17 adalah tambahan kepada 19 unit sedia ada yang dipasang di lokasi panas termasuk lembangan sungai.
“Selain itu, anggota penguat kuasa juga melaksanakan pemantauan dan rondaan dalam tempoh 24 jam di lokasi panas pembuangan sampah haram tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
MBPJ turut memaklumkan sebanyak 594 kompaun dikeluarkan kepada individu dan pemilik premis yang ingkar dengan membuang sampah di lokasi yang tidak dibenarkan sepanjang tahun lalu.
“Selain itu, tindakan sitaan turut diambil membabitkan empat kenderaan serta dua pendakwaan mahkamah. Tindakan diambil dibawah UUK 5(1) Undang-undang Kecil Mencegah Kekotoran (MPPJ) 1999.
“MBPJ berharap masyarakat sentiasa cakna dalam memastikan kebersihan sentiasa terpelihara, membuang sampah di tempat yang telah ditetapkan dalam memastikan Petaling Jaya bersih dan indah,” katanya.
Orang awam boleh memberi maklumat berkaitan pembuangan sampah haram melalui talian aduan MBPJ di talian 03-79542020.