HULU LANGAT, 16 JAN: Sejumlah RM101,512 diperuntuk Parlimen Bangi bagi pembinaan tangga dan laluan pejalan kaki di Klinik Kesihatan Sungai Chua dekat sini.
Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata peruntukan menerusi Projek Mesra Rakyat 2024 yang siap akhir Disember lalu memanfaatkan kira-kira 700 pelawat klinik berkenaan setiap hari.
“Ini antara projek paling besar untuk 2024 yang memberi impak kepada mereka yang berkunjung ke klinik ini kerana sebelum ini tiada akses laluan pejalan kaki, jadi mereka perlu naik bukit yang agak jauh,” katanya ditemui selepas meninjau projek berkenaan.

Menurut Syahredzan, secara keseluruhan kira-kira RM200,000 diperuntuk Parlimen Bangi untuk menambah baik kemudahan di klinik kesihatan sepanjang tahun lalu yang turut melibatkan Klinik Kesihatan Bangi dan Klinik Kesihatan Sungai Sikamat.
“Di Klinik Kesihatan Bangi kira-kira RM50,000 diperuntuk untuk tempat letak kereta manakala Klinik Sungai Sikamat juga sekitar RM50,000 untuk membeli keperluan peralatan,” katanya.
Syahredzan menambah, fokus pihaknya setiap tahun bagi peruntukan projek mesra rakyat adalah kepada bidang pendidikan dengan menambah baik infrastruktur sekolah yang memerlukan.
“Hampir 20 peratus peruntukan itu disalurkan kepada sekolah kerana saya sentiasa tekankan jatuh bangun negara bergantung bagaimana kita didik anak-anak kita bukan hanya bagi pelajaran tetapi pastikan persekitaran lengkap.
“Banyak sekolah di Parlimen Bangi ini sudah lebih 20 tahun malah ada lebih 50 tahun dan hampir 100 tahun jadi kemudahan asas seperti pintu, rumah pam, sumbangan komputer kita bantu,” katanya.
Katanya tumpuan turut diberikan menaik taraf kemudahan dan fasiliti melibatkan kluster kesihatan seperti klinik kesihatan dan hospital yang berdampak tinggi dan memberi kesan besar kepada pengguna.

Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga merangkap Ketua Klinik Kesihatan Sungai Chua Dr Sabarinah Sapdi berkata pihaknya sangat menghargai sumbangan itu yang memberi lebih keselesaan kepada pesakit.
“Sebelum ini ada kejadian pesakit pengsan kerana terpaksa mendaki bukit untuk masuk ke klinik ini, jadi dengan adanya tangga dan laluan pejalan kaki mereka boleh berpaut pada pemegang tangga dan lebih selamat,” katanya.

