SHAH ALAM, 24 JAN: Perkampungan Kebudayaan Selangor 2025 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, disifatkan menarik dan memberi pendedahan kehidupan lalu kepada golongan muda.
Pengunjung, Jamaluddin Zainal Abidin, 47, berkata banyak aktiviti menarik pada karnival yang membuka tirai semalam hingga Ahad seperti permainan tradisional yang semakin ‘pupus’ dalam kalangan belia.

“Mulanya tidak tahu pun berkaitan program ini kebetulan lalu kawasan sini, saya, isteri dan anak pun singgah. Menarik, selain makanan yang pelbagai aktiviti permainan tradisional juga banyak.
“Inisiatif yang amat bagus bagi saya terutama kepada golongan anak muda ketika ini yang kurang ambil tahu berkaitan kebudayaan dan permainan zaman dahulu. Saya fikir wajar dihidupkan kembali daripada ia pupus ditelan zaman,” katanya.

Manakala Noorlinda Ibrahim, 56, yang hadir bersama keluarga mengakui bersemangat mengenakan pakaian konsep tradisional klasik sebagai tanda sokong terhadap program tersebut.
“Sebelum datang berkali-kali jugalah tukar baju sebab nak ikut tema, macam hari ini saya mengenakan tema ala-ala klasik zaman Saloma. Saya rasa lebih menarik jika pengunjung hadir berpakaian mengikut tema, mungkin lebih meriah.
“Program begini menarik selain kita dapat jumpa juadah lauk-pauk kampung yang pelbagai, kita juga boleh melihat hasil kraftangan orang asli dan persembahan kebudayaan,” katanya.

Sementara itu, penjawat awam, Mohamad Harizal Mat Arpan, 52, turut memuji inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan program kebudayaan berkenaan dan berharap ia dilaksana setiap tahun.
“Lokasi strategik dan luas tetapi adalah lebih baik penganjur mempelbagaikan lagi reruai yang memaparkan perkampungan kebudayaan,” katanya yang datang dari Bangi.
Perkampungan Kebudayaan Selangor 2025 dijadual akan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari esok, jam 8 malam.

Pengunjung dipelawa hadir untuk memeriahkan lagi program dengan pelbagai pengisian diadakan antaranya persembahan kebudayaan dan jualan reruai makanan minuman di Pasar Saloma.
Menariknya, karnival turut diserikan dengan pertandingan permainan tradisional seperti gasing pangkah, tali getah, dam gergasi, congkak, batu seremban, lastik dan terompah gergasi.