Atlet serta pegawai Selangor menyertai perbarisan lintas hormat kontinjen negeri pada acara pembukaan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XXI) Sarawak, 17 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Persiapan awal SUKMA 2026 giat dilaksana, pilih tempat sesuai semua

SHAH ALAM, 17 JAN: Selangor selaku tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 giat melaksanakan persiapan awal bagi memastikan kelancaran penganjuran sukan dwitahunan itu di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA ke-22 Selangor 2026 berkata ia meliputi pelbagai perkara termasuk pembangunan infrastruktur, penambahbaikan fasiliti sukan, pemilihan tempat serta pengurusan acara.

Menurut Dato’ Mohd Yazid Sairi, di peringkat awal ini, tempat penganjuran sukan dikenal pasti bagi memastikan kemudahannya kondusif dan sesuai untuk semua pihak termasuk orang kurang upaya (OKU) bagi Para SUKMA.

“Tempat menjadi tumpuan di peringkat sekretariat kerana tradisinya SUKMA akan datang dengan Para SUKMA. Yang penting bagi kami pada peringkat awal ini memastikan tempat yang dipilih itu kondusif kepada semua pihak sebagaimana ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan.

“Sesetengah tempat yang telah kita gunakan untuk penganjuran lebih 20 tahun dulu, mungkin perlu dibaiki. Tapi di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), ada 12 PBT (mempunyai) infrastruktur sukan sangat baik, contohnya Stadium Kelana Jaya, Selangor FC gunakan untuk Liga Malaysia.

“Kita juga ada dewan-dewan Kerajaan Negeri, kolam renang, pusat komersial dan konvensyen milik swasta yang kita boleh gunakan dengan sewaan,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan SelangorTV.

Menurut Mohd Yazid, perkampungan atlet dan tempat acara sukan akan turut diberi perhatian khusus bagi memastikan kemudahan dan keselesaan yang menjamin prestasi atlet dalam temasya itu.

Mohd Yazid yang juga timbalan ketua kontinjen Selangor pada SUKMA di Sarawak tahun lepas menambah, sebanyak 28 acara sukan teras dijadual dipertandingkan dalam SUKMA 2026 melibatkan 21 sukan individu dan selebihnya kumpulan.

“Manakala, bagi tambahan acara akan dipertandingkan di peringkat jawatankuasa. Kita cuba elakkan kontroversi (acara dipertandingkan untuk SUKMA 2026) dan beri penilaian kepada peserta berdasarkan bakat dan keupayaan sebenar dalam acara disertai,” katanya.

Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah sukan berprestij itu pada 1998.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbiran menganggar kos lebih RM150 juta diperuntuk bagi menganjur temasya sukan dwitahunan itu selain penggunaan 90 peratus infrastruktur di Selangor.

 


Pengarang :