SHAH ALAM, 14 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 384 tong ‘Roll On Roll Off’ (roro) bagi menjayakan program pembersihan sampah pukal sempena Tahun Baharu Cina.
Pengarah korporat dan perhubungan awamnya Mohd Azhar Mohd Sharif berkata semua tong terbabit diletakkan mengikut jadual bermula semalam hingga 27 Januari depan.
“Penyediaan tong roro berkapasiti tiga tan ini ditempatkan selama tiga hingga lima hari di lokasi yang telah dijadualkan dan akan ditarik lebih awal dari tempoh masa yang ditetapkan sekiranya sudah penuh.
“Tujuan pelaksanaan perkhidmatan tong roro ini untuk memberikan kemudahan kepada penduduk melaksanakan aktiviti gotong royong kendiri di kediaman masing-masing,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Azhar menambah, antara sisa yang boleh dilupuskan di dalam tong Roro adalah sampah pukal seperti perabot terpakai, manakala sisa sampah lain perlu dilupus mengikut medium pengurusan sisa yang ditetapkan.
Jelasnya, MBSA berharap penduduk memberikan kerjasama dengan meletakkan sampah pukal di dalam tong yang disediakan bagi memudahkan pihak kontraktor sekali gus menjaga kebersihan kawasan sekitar.
“Orang ramai boleh melayari laman sosial Facebook rasmi MBSA untuk menyemak senarai lokasi penempatan tong Roro di kawasan masing-masing,” katanya.