Oleh UFAIRAH TARMIDZI
SHAH ALAM, 19 JAN: Permainan bola pikel yang mudah dipelajari menyaksikan sukan berkenaan berkembang pantas sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua pegawai eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) berkata cara permainannya yang tidak memerlukan keupayaan tinggi turut mendorong sukan berkenaan semakin diminati.

“Pada mulanya, permainan ini diperkenalkan untuk golongan warga emas. Namun begitu, lama-kelamaan ia turut menarik minat golongan muda.
“Permainan ini juga mendapat perhatian daripada pelbagai lapisan masyarakat kerana kesederhanaannya serta tidak memerlukan keupayaan fizikal yang terlalu tinggi.” kata Fakru Radzi Ab Ghani kepada Media Selangor.
Prec yang menguruskan Gelanggang Sukan Arena A.T.A.S di SACC Mall, di sini mempelawa peminat sukan bola pikel menggunakan kemudahan berkenaan dengan sewa serendah RM30 sejam pada hari biasa manakala RM35 (hujung minggu).
Mengulas mengenai sambutan, Fakru Radzi berkata pihaknya menerima 100 tempahan dengan kehadiran pemain dari pelbagai peringkat umur sejak gelanggan itu mula dibuka pada Mei tahun lalu.

Sementara itu, peminat bola pikel Muhammad Daniel Halimy turut mengakui sukan berkenaan mudah dipelajari dan sesuai dimainkan di semua peringkat umur.
“Sukan ini memang sedang berkembang dan diminati tidak kira kategori mana anda berada, anda masih boleh bermain kerana ia bukan sukan yang terlalu berintensiti tinggi.”katanya yang baru berjinak-jinak dalam sukan itu.

Sebelum ini, EXCO Sukan berhasrat perbanyakkan lagi program bagi menarik minat masyarakat khususnya rakyat Selangor terhadap sukan bola pikel.
Najwan Halimi berkata meski sukan itu masih baharu di Malaysia, pihaknya percaya bola pikel memiliki potensi cerah untuk dikembangkan dan mampu melahirkan ramai bakat profesional.
Malah, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 pada 15 November lalu mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk memacu perkembangan sukan ini dengan lebih jauh.
