Oleh Yasmin Ramlan
SHAH ALAM, 24 JAN: Pengurusan Litar Antarabangsa Petronas Sepang (Petronas SIC) berbesar hati dipertimbang sebagai lokasi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22, yang dijadual Ogos 2026.
Ketua pegawai eksekutifnya berkata pihaknya mengadakan perbincangan awal bersama Kerajaan Negeri dan sekretariat SUKMA untuk mengadakan upacara pembukaan dan penutup temasya dwitahunan itu.
“Litar ini menawarkan kelebihan unik untuk menganjurkan pelbagai acara, dan kami bersedia bekerjasama dengan sekretariat SUKMA bagi merealisasikan visi ini,” kata Azhan Shafriman Hanif.
Isnin lalu, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata Jawatankuasa Pengurusan SUKMA 2026 mempertimbang litar berkenaan sebagai lokasi bagi upacara pembukaan dan penutupan.

Penganjuran Para SUKMA pula dijadual berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Dalam pada itu, Azhan Shafriman berkata pihaknya akan terus berbincang dengan sekretariat negeri bagi memastikan proses perancangan dan pelaksanaan upacara tersebut lancar.
Jika disahkan, langkah untuk menganjurkan upacara pembukaan dan penutupan SUKMA akan menjadi perubahan ketara daripada tradisi mengadakan acara sedemikian di stadium.
Pendekatan itu mencerminkan semangat inovasi yang dilihat dalam Sukan Olimpik baru-baru ini, dengan upacara pembukaan pada 26 Julai tahun lalu berlangsung di Sungai Seine.

Pembukaan Olimpik Musim Panas itu menyaksikan lebih 10,000 atlet berarak di atas bot, menarik kira-kira 300,000 penonton yang berkumpul di sepanjang tebing sungai.
Menurut laman web, tempat duduk utama dan ruangan korporat SIC mempunyai kapasiti 32,000, manakala keseluruhan kawasan mampu menampung lebih 170,000 penonton pada satu-satu masa.
Dibina pada Februari 1998, litar itu pernah menjadi tuan rumah untuk beberapa acara sukan utama seperti Grand Prix F1, MotoGP, Super GT, Asian Le Mans Series, dan Kejohanan Superbike Dunia.
Selangor kali terakhir menjadi tuan rumah SUKMA pada 1998, di mana negeri itu muncul juara keseluruhan.