SHAH ALAM, 23 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan rasa bangga dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menunjukkan peningkatan perkhidmatan termasuk urusan kutipan dan agihan zakat.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sejak penubuhannya pada 1994, LZS melakukan inovasi dan pemodenan dari semasa ke semasa hingga menjadi ikutan beberapa negara antaranya Indonesia dan Thailand.
Bagaimanapun Baginda mengingatkan agensi supaya tidak selesa dan berpuas hati dengan kejayaan dicapai sebaliknya terus mementingkan kecekapan, kredibiliti dan mematuhi piawaian syariah.

“LZS harus sentiasa melihat kaedah bantuan terbaik kepada asnaf dan bagaimana ia mampu membina kehidupan mereka secara berdikari dan konstruktif berpandukan peraturan dan panduan syarak.
“Ini termasuk turun padang bagi mengemas kini data dan mendapatkan maklumat terkini penerima berpandukan pendapatan isi rumah dan kemampuan kewangan mereka,” titah Baginda ketika menyempurnakan perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah hari ini.
Sultan Sharafuddin turut menyarankan LZS menggunakan khidmat ketua kampung, penghulu serta pegawai agama daerah bagi mendapatkan maklumat asnaf sekali gus mengenal pasti golongan berkenaan.
Baginda mengingatkan LZS supaya prihatin dengan penduduk di kawasan bandar terutama golongan miskin bandar dan memastikan mereka layak menerima bantuan bawah lapan kategori asnaf.
“Zakat adalah ibadah yang disyariatkan untuk mengangkat martabat umat Islam. Sejarah membuktikan zakat bukan sekadar ibadah individu tetapi sistem sosial yang menjaga hak-hak manusia, melindungi maruah dan menegakkan maqasid syariah khususnya menjaga agama dan harta,” titah Baginda.
Sultan Sharafuddin menitahkan tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang menyeleweng termasuk mengheret pesalah ke mahkamah.
“Sesungguhnya tanggungjawab LZS sangat besar dalam memegang amanah umat Islam di negeri ini. Beta mengingatkan kepada semua peringkat kutipan zakat termasuk amil-amil agar sentiasa jujur, amanah serta menjaga integriti dan memastikan tiada penyalahgunaan kuasa,” titah Baginda.