Oleh Anna Farina Abdul Rauf
Dalam gerak lincah singa yang megah dan gerakan meliuk naga yang anggun, ia membangkitkan jiwa.
Diiringi paluan gendang dan gemerincing simbal, tarian ini menghidupkan cerita keberanian dan kesatuan.
Bagi kaum Tionghoa, tarian singa dan naga membawa tuah dan perlindungan, tersembunyi hikayat kuno yang terus bergema di hati generasi kini.
Guru tarian singa bagi Persatuan Tarian Naga dan Singa Cailifo Nansheng berkongsi cerita di sebalik tuah tarian singa.
Hooi Kok Hong, 57, berkata tarian ini secara tradisi dimain untuk menakutkan raksasa yang dipercayai keluar untuk memudaratkan manusia dan memusnahkan tanaman.
“Dari zaman dahulu, mereka sudah ceritakan bahawa singa ini membawa tuah dan halau roh jahat.
“Yang menakutkan roh jahat itu paluan bunyi gendang. Bila bunyi kuat, singa datang dan semua anasir jahat takut dan lari sekali gus roh jahat tidak kacau,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Menjelang Tahun Baharu Cina, jadual padat menanti Persatuan Tarian Naga Dan Singa Cailifo Nansheng.
Ditubuhkan sekitar 2002 dan dianggotai lebih 30 penari, persatuan yang bertapak di Petaling Jaya ini menjadi pilihan utama masyarakat Tionghoa untuk menyemarakkan suasana perayaan.
“Dalam sehari, lebih tujuh persembahan, dari hari pertama sampai hari terakhir Chap Goh Mei, pagi sampai ke malam. Kita mula 9 pagi sampai 9 malam,” katanya.

Disebalik kemeriahan tarian, ia menuntut seribu satu persediaan, baik daripada segi mental dan fizikal.
Menurut Kok Hong yang berpengalaman lebih 30 tahun, pena dalam bidang itu, penari perlu menjalani latihan dan persiapan rapi bagi mengelak sebarang kecederaan.
“Gerakan tarian bagi akrobatik ini bahaya dan mereka perlu banyak berlatih dengan pasangan, gerakan kena yakin antara satu sama lain, fizikal kena kuat.
“Hari-hari gerakan tak sama, bila kita lambat, yang di depan bahagian kepala bergerak lambat, keadaan akan tidak seimbang, dua-dua pun akan jatuh.
“Bila pakai kostum, mereka tak nampak, mereka hanya guna firasat mereka sahaja bila melompat untuk lakukan aksi akrobatik,” katanya.
Tambah beliau, tarian singa dan naga bukan sekadar hiburan malah menjadi nadi warisan.
Warisan yang tidak ternilai ini perlu diwarisi agar generasi baru dapat terus menikmati keunikan dan mengekalkan identiti mereka.
“Persatuan Tarian Naga Dan Singa Cailifo Nansheng sentiasa mencari bakat baru, kita pupuk tradisi tarian singa ini dari peringkat sekolah sebagai aktiviti kokurikulum.
“Aktiviti ini beri peluang kepada pelajar untuk mempelajari langkah tarian, tetapi juga mengeratkan hubungan melalui kerjasama dalam kumpulan,” jelasnya.