SHAH ALAM, 10 JAN: Program temasya jalanan Kuala Kubu Bharu yang diserikan dengan persembahan budaya antara tarikan pelancongan daerah Hulu Selangor sepanjang tahun ini.
Acara melibatkan hiburan jalanan dan jualan gerai makanan tempatan itu, dijadual berlangsung setiap Sabtu mulai Januari hingga Disember kecuali Ramadan, dari 10 pagi hingga 10 malam.
Menerusi kalendar pelancongan dikongsi Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), acara lain adalah Wings of KKB: Selangor International Birds Fair pada 26 dan 27 April, pertandingan mengenal burung bagi pelajar kategori sekolah, terbuka dan institusi pengajian tinggi.
Turut dianjurkan KKB International Paragliding Accuracy Open dari 2 hingga 4 Mei, yang bakal menyaksikan juruterbang paragliding terbaik dalam dan luar negara beraksi di ruang udara Kuala Kubu Bharu.
“Jangan lepaskan peluang untuk menyertainya. Pendaftaran acara pelancongan Hulu Selangor 2025 akan dibuka tidak lama lagi.
“Jom teroka keindahan Hulu Selangor tahun ini, destinasi penuh keunikan dan cabaran,” katanya menerusi Facebook.
Menurut MPHS, acara lain adalah cabaran larian lasak menguji ketahanan fizikal dan mental merentas denai menerusi Hulu Selangor Adventure Challenge & Hulu Selangor Ultra Trail dijadual pada 30 Mei hingga 1 Jun.
Selain itu, Selangor King of Mountain iaitu acara berbasikal sejauh 40 kilometer dari Kuala Kubu Bharu hingga ke Bukit Fraser pada 14 September.
Pada 4 dan 5 Oktober pula berlangsung Kuala Kubu Bharu In-House Starfest dan KKB Adventure Festival dipenuhi dengan acara menyeronokkan seperti sukan esktrem dan melihat bintang (stargazing).
Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) dijangka menarik kehadiran lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit pelancongan berjumlah RM11.7 bilion.
Tourism Selangor disasar menawarkan lebih 60 program dan acara pelancongan, kempen TMS2025 dengan memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen pelancongan termasuk pelancongan eko, agro, seni dan budaya.
Segmen lain termasuk pelancongan gastronomi (makanan), pelancongan MICE (mesyuarat, insentif, persidangan, pameran) dan pelancongan pengalaman.

