KUALA LANGAT, 12 JAN: Komuniti setempat khususnya kampung baru digalakkan menghias perkampungan masing-masing bagi menarik kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor berkata pihaknya sentiasa menggalakkan komuniti agar tidak hanya bergantung kepada agensi untuk menarik pelancong.
“Usaha mencantikkan dan berkongsi keistimewaan perkampungan dapat membantu dalam meningkatkan jumlah pelancong ke Selangor.
“Selain itu, jika ada idea baharu yang ingin digarap mereka boleh menghubungi Tourism Selangor bagi mendapatkan maklumat lanjut,” kata Chua Yee Ling.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian mural di Kampung Baru Jenjarom di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan usaha jawatankuasa Kampung Baru Jenjarom melukis mural di tapak lama Tokong Fo Guang Shan Dong Zen dapat menarik lebih ramai pelancong.
“Jika sebelum ini lebih sejuta yang mengunjungi tokong ini, kita yakin perkongsian sejarah Kampung Jenjarom yang wujud lebih 70 tahun sasaran pelancong lapan juta dapat dicapai.
“Oleh itu, saya menyeru supaya penggiat industri dan komuniti setempat dapat menghasilkan pelbagai produk pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong,” katanya.
Sementara itu, EXCO Persatuan Kebudayaan Jenjarom Ang Soon Beng berkata pelbagai tarikan yang ingin dikongsi dengan pelancong selain Tokong Fo Guang Shan Dong Zen.
“Kita ada Tokong Ban Siew Keng yang menjadi tumpuan penduduk setempat, makanan tradisi dan keharmonian masyarakat setempat berbilang kaum biarpun majoriti cina,” katanya.
TMS2025 dijangka menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.
Menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosi, Tourism Selangor memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk pelancongan eko, agro, seni dan budaya.