Atlet negara Muhammad Ziyad Zolkefli bersama pingat perak yang dimenangi ketika bergambar dengan pemenang pingat emas dari Ukraine Oleksandr Yarovyi (tengah) dan pemenang pingat gangsa juga dari Ukraine Maksym Koval dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France pada 4 September 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Ziyad tidak beraksi di Sukan SEA Thailand 2025, fokus kejohanan lain

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli memberi bayangan tidak menyertai temasya Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.

Beliau yang pernah mewakili negara empat kali berturut-turut di sukan dwi tahunan itu bermula pada edisi 2017 di Kuala Lumpur hingga di Kemboja pada 2023 berkata keputusan itu dibuat memandangkan jadual kejohanan yang padat tahun ini.

Bagaimanapun, beliau akan bertanding pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2025 yang berlangsung Januari tahun depan.

“Sukan SEA tahun ini jujur saya cakap mungkin tidak sertai sebab sudah terlalu berat dan empat edisi saya sertai.

“APG mungkin saya akan beraksi tetapi Sukan SEA memang tidak,” katanya baru-baru ini.

Untuk rekod, sepanjang penyertaan Muhammad Ziyad di Sukan SEA, atlet berusia 34 tahun itu tidak pulang dengan tangan kosong apabila meraih satu perak dan tiga gangsa secara keseluruhan.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan perancangannya tahun ini, beliau berkata akan menyertai beberapa kejohanan besar antaranya Grand Prix Dunia Olahraga Para di Marrakesh, Morocco pada April dan Kejohanan Olahraga Para Dunia di New Delhi India September depan.

Beliau akan menjalani latihan di Malaysia bagi mempersiapkan diri untuk dua kejohanan berkenaan.

“Untuk tahun ini kita berlatih di Malaysia sahaja dan tidak akan ke luar negara. Bagi saya kelengkapan yang disediakan Majlis Sukan Negara (MSN) sebenarnya sudah terbaik.

“Tidak semestinya berlatih di luar sahaja bagus, berlatih di negara sendiri juga boleh jadi hebat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :