SHAH ALAM, 5 FEB: Sejumlah 298 tapak perniagaan yang ditawar di sekitar Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves dekat sini sempena sambutan Thaipusam habis terjual.
Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang berkata permit perniagaan am, makanan, minuman dan inai antara petak terbanyak ditawar iaitu 175 diikuti gunting rambut dan tatu (51), penjaja sementara (19) dan penjaja bergerak (10).
Kata jabatan itu lagi, permit turut ditawar kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebanyak 28 petak serta orang kurang upaya (OKU) dengan diskaun 30 peratus sebanyak 15 petak.
“Sesi jualan tapak yang diadakan di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak hari ini berjalan lancar. MPS akan sentiasa melaksanakan pemantauan di tapak untuk memastikan semua penjaja mematuhi syarat-syarat permit yang telah digariskan.
“Penjaja juga diingatkan untuk menjaga kebersihan persekitaran serta mutu makanan yang dijual bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini seperti isu berkaitan kesihatan dan penyakit berjangkit,” katanya menerusi kenyataan.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan tambang percuma selama dua hari sempena Thaipusam bermula 10 Februari depan.
Kemudahan itu ditawarkan kepada penumpang KTM Komuter Lembah Klang, menggunakan mekanisme imbasan keluar melalui pintu automatik (ACG), selain akan beroperasi selama 24 jam bagi tempoh empat hari bermula Ahad.