GOMBAK, 7 FEB: Jemaah Menteri memutuskan tiada keperluan mewujudkan garis panduan untuk orang Islam berkunjung ke rumah ibadat atau perayaan agama lain.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia .
“Saya berpendapat (garis panduan) tidak perlu kerana orang Islam tahu jaga akidah. Contoh saya datang ke acara ini (lawatan kerja kuil Batu Caves) bukan masuk upacara agama.
“Jadi jangan persulitkan dan menimbulkan kerisauan dalam masyarakat. Saya nak tegaskan keputusan (tiada garis panduan) muktamad oleh Jemaah Menteri pagi tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kuil Batu Caves di sini, hari ini. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari.
Pada masa sama, perdana menteri berkata walaupun Perlembagaan Persekutuan menggariskan Islam sebagai agama persekutuan, semua pihak perlu dijaga demi keharmonian negara.
“Kita negara pelbagai kaum dan agama, kalau nak pastikan negeri ini aman semua pihak perlu dipelihara,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan garis panduan khusus berkaitan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam sedang dimuktamadkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata garis panduan itu akan diperkenalkan supaya penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
