PETALING JAYA, 10 FEB: Seramai 600 pelajar sekitar Kota Damansara dan Paya Jaras menerima sumbangan bantuan persekolahan bernilai RM48,000 daripada Bank Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan berkata sumbangan berupa beg dan alat tulis diharap dapat meringankan beban keluarga kurang berkemampuan
“Saya amat mengalu-alukan inisiatif seperti ini dan berharap lebih banyak institusi korporat serta awam dapat turut serta dalam melaksana usaha murni bersama kerajaan.

“Saya juga berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban ibu bapa dan memberi manfaat kepada anak-anak untuk bersekolah nanti,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau menyempurnakan penyerahan sumbangan di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara, di sini yang turut dihadiri Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.
Dalam majlis berkenaan, Ahli Parlimen Sungai Buloh itu turut mengumumkan menaja pembukaan akaun i-nuri Bank Rakyat kepada 600 pelajar terbabit dengan deposit permulaan RM20.

Sementara itu, Ramanan mengingatkan penganut beragama Hindu yang menyambut Hari Thaipusam esok supaya menjaga keselamatan diri masing-masing dan meraikan dengan penuh kesyukuran.
“Saya sudah meninjau persiapan bersama perdana menteri di Batu Caves pada minggu lalu. Beliau turut menyampaikan amanat supaya Thaipusam dirai dengan kegembiraan.
“Apa yang paling penting adalah keselamatan penganut yang hadir nanti. Dijangka hampir 1,500 anggota polis akan berada di Batu Caves sepanjang sambutan Thaipusam,” katanya.