AMPANG JAYA, 9 FEB: Cyberjaya Teleflow FC menjuarai Selangor Champions League (SCL) 2024 selepas menewaskan MPKj FC 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium MPAJ, malam tadi.
Gol tunggal pasukan itu hadir menerusi pemain penyerang jersi nombor 23 Ibrahim Syaihul pada minit ke-35.
Muhammad Fazrul Fahriz Zeky yang bermain untuk Cyberjaya Teleflow FC turut dinobat pemain terbaik SCL 2024.
Kemenangan itu melayakkan skuad berkenaan menjulang trofi dan hadiah yang disampaikan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Dato’ Seri Shahril Mokhtar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Dr Ani Ahmad.
SCL dianjurkan buat kali kelapan tahun ini dan ia adalah liga bola sepak hasil ilham Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Sebelum perlawanan akhir, petang tadi turut diadakan perlawanan persahabatan antara pasukan Selangor Legends yang tewas 0-3 menentang SCL XI.