SHAH ALAM, 15 FEB: Penetapan acara sukan yang akan dipertanding dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor 2026 bakal dimuktamad selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada 26 Februari depan, kata EXCO sukan.
Mohd Najwan Halimi berkata mesyuarat yang dipengerusi Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh itu turut disertai semua EXCO sukan negeri terlibat SUKMA.
“Buat masa ini, Selangor selaku tuan rumah memutuskan menyertai 28 acara teras namun tidak mahu sukan dipertanding hanya beri kelebihan pada kita sahaja tetapi pada semua negeri bertanding.
“Contohnya seperti bola pikel mungkin di Selangor sudah bermula dan ada kemudahan tetapi tidak di negeri lain. Oleh itu, di mesyuarat ini akan diputuskan jenis sukan akan dipertanding pada tahun depan,” katanya.
Ditemui pada majlis perasmian Restoran Burg&Go di Seksyen 7, Mohd Najwan memaklumkan lebih 2,000 Penggerak Belia Selangor (PeBS) akan dilantik sebagai sukarelawan SUKMA.
“PeBS sejak tahun lepas laksana pelbagai program akar umbi babit golongan belia dan terbaharu saya akan bincang bersama Sekretariat SUKMA ke-22 Selangor untuk libatkan mereka sebagai sukarelawan.
“Kita anggar lebih 2,000 ahli dan semuanya akan digerakkan sebagai sukarelawan. Kita mahu anak muda terlibat dalam penganjuran SUKMA di Selangor tahun depan,” katanya.
SUKMA ke-21 berlangsung di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos tahun lalu menyaksikan Selangor berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa.
Pada 3 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan insentif sehingga RM10,000 kepada atlet yang meraih pingat emas.
Ganjaran RM10,000 diberi kepada atlet sukan individu, RM5,000 seorang (acara berpasukan bawah lima orang) dan RM3,000 seorang (acara berpasukan lebih lima orang), peningkatan tiga kali ganda berbanding temasya sama pada 2022.