SHAH ALAM, 12 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melancarkan buku Pelan Induk Penjaja Shah Alam (PIPE-SA) 2025-2030.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata buku itu sebagai panduan kepada MBSA bagi membentuk komuniti penjaja lebih tersusun dan berdaya saing seiring era teknologi moden.
“PIPE-SA ini akan dijadikan panduan perencanaan untuk perkembangan sosio-ekonomi penjaja selain dirujuk sebagai penyataan polisi pembangunan prasarana fizikal kawasan perniagaan.
“Peniaga turut menyumbang kepada sektor ekonomi negeri, jadi pentingnya ada panduan jelas supaya kita dapat santuni mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kit dan Permit Bazar Ramadan 2025 dan pelancaran PIPE-SA 2025-2030 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, di sini hari ini.
Mohd Najwan berharap pihak berkuasa tempatan lain dapat mencontohi dan mengikut jejak langkah MBSA mewujudkan pelan induk terhadap usahawan sekitar pentadbiran mereka.
“Saya difahamkan MBSA merupakan PBT pertama mewujudkan pelan induk seumpama ini, semoga ia menjadi ikutan PBT lain supaya pembangunan komuniti penjaja terus terbela.
“Saya berharap semua pihak terutama pemegang taruh berkaitan dapat memberi komitmen dan kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan semua strategi dan inisiatif yang dirangka dalam pelan ini,” katanya.
